Air hijau di Telok Panglima Garang

LocalEnvironment
22 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Air hijau di Telok Panglima Garang

KUALA LANGAT – Aliran air berwarna hijau yang menghala ke Sungai Langat antara dua kes pencemaran dikesan serentak di Telok Panglima Garang di sini semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, pencemaran itu dikesan menerusi dua aduan berasingan membabitkan Jalan Telok Mengkuang dan Jalan Perupuk.

Menurutnya, siasatan di Jalan Telok Mengkuang menggunakan dron dan pemeriksaan sepanjang aliran parit mendapati air berwarna tersebut terkumpul di bahagian hilir sebelum menghala ke Sungai Langat.

“Pasukan LUAS menemukan sebuah premis kitar semula plastik yang berpotensi menjadi punca aliran air berwarna itu, namun tiada pelepasan dikesan dari premis berkenaan.

“Bagaimanapun, notis di bawah Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2024 atau Zero Discharge Policy (ZDP) telah dikeluarkan terhadap premis itu,” katanya hari ini.

LUAS berkata, siasatan lanjut mendapati aliran berwarna tersebut disyaki berpunca dari kawasan perindustrian Telok Panglima Garang.

Katanya, sampel air diambil di beberapa lokasi untuk analisis sebelum pemeriksaan susulan dijalankan di kawasan perindustrian berkenaan bagi mengesan punca sebenar pencemaran.

Dalam perkembangan sama, siasatan di Jalan Perupuk pula menemukan pencemaran saliran parit yang disyaki berpunca daripada aktiviti pelupusan sisa kimia.

“Pasukan LUAS menemukan aliran air berwarna yang disyaki berpunca daripada sebuah premis penyalutan logam yang dilaporkan telah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pelepasan yang disyaki sisa minyak ke parit bersebelahan premis berkenaan,” katanya.

Sampel kualiti air turut diambil di lokasi berkaitan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

LUAS kemudian membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 bagi kesalahan mencemarkan sumber air. – KOSMO! ONLINE

The post Air hijau di Telok Panglima Garang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved