
SHAH ALAM, 9 JUL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti dua premis mencemarkan Sungai Kapar Kechil, Klang hingga menyebabkan airnya bertukar biru, susulan siasatan dijalankan pada 6 dan 8 Julai lalu.
EXCO alam sekitar berkata siasatan pertama pada 6 Julai menemukan sebuah kilang memproses plastik kitar semula disyaki mengepam efluen dari kolam premis ke sungai menggunakan pam khas, selain mengabstrak air sungai tanpa kebenaran.

“Premis terbabit diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan pensampelan dijalankan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut,” kata Jamaliah Jamaluddin dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata LUAS membuka kertas siasatan terhadap premis tersebut mengikut Seksyen 79(4) dan Seksyen 107(b) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air serta mengambil air tanpa kebenaran.
Siasatan susulan pada 8 Julai pula mengenal pasti sebuah premis menyimpan cecair getah berwarna biru sebagai punca pencemaran kedua.
Jamaliah memberitahu, kebocoran pada penutup tangki menyebabkan bahan kimia mengalir ke longkang seterusnya ke parit berhampiran dan ke Sungai Kapar Kechil.
“Premis ini tidak mempunyai kolam takungan sisa, menyebabkan pencemaran terus berlaku. LUAS mengeluarkan Surat Arahan mengikut Seksyen 121(1) untuk menutup aliran bahan pencemar serta mengarahkan kerja pembersihan segera di semua lokasi terlibat,” jelasnya.

Kerja pembersihan selesai sekitar jam 10.45 malam pada hari sama dengan pemantauan rapi LUAS dan kertas siasatan turut dibuka ke atas premis tersebut mengikut Seksyen 79(4) enakmen sama.
Sehubungan itu, Jamaliah menegaskan pentadbiran negeri memandang serius semua bentuk pencemaran sumber air, meskipun ia tidak melibatkan bekalan air mentah ke loji rawatan.
“Langkah pantas ini berjaya mengelakkan pencemaran daripada merebak ke Sungai Kapar Kechil dan seterusnya ke perairan Selat Melaka.
“Kerajaan Negeri dan semua agensi tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau operasi tanpa kebenaran yang menjejaskan keselamatan sumber air,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha premis supaya mematuhi peraturan dan melaksanakan kawalan keselamatan serta kesihatan yang menyeluruh demi melindungi alam sekitar dan pengguna.
The post LUAS siasat dua premis cemar Sungai Kapar Kechil hingga air bertukar biru appeared first on Selangorkini.



