
KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Suami isteri yang ditahan semalam direman tujuh hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disyaki didera.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafis Muhammad Nor berkata lelaki dan wanita berusia 27 dan 28 tahun yang juga keluarga angkat mangsa disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, media melaporkan kanak-kanak itu meninggal dunia dengan kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan disyaki menjadi mangsa penderaan di Paya Jaras, Sungai Buloh.
Polis menerima laporan kematian mangsa daripada pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada 12.45 tengah malam Khamis lalu apabila mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan terbabit.
– BERNAMA
The post Suami isteri disyaki dera kanak-kanak perempuan hingga maut direman seminggu appeared first on Selangorkini.


