Lynas Malaysia mulakan pengeluaran pertama produk nadir bumi berat di Kuantan

16/05/2025 - 12:05
KUALA LUMPUR 16 Mei - Lynas Rare Earths Malaysia sudah memulakan pengeluaran pertama produk nadir bumi berat yang diasingkan dikilangnya di Kuantan.
Syarikat itu berkata, kilang itu merupakan satu-satunya pengeluar komersial bagi produk unsur nadir bumi berat terasing di luar China.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze berkata, perkembangan itu mencerminkan penglibatan Malaysia yang semakin meningkat dalam rantaian bekalan nadir bumi global.
Katanya, Oksida Disprosium (Dy) dihasilkan melalui barisan pengeluaran unsur nadir bumi berat baharu yang telah dimulakan di Lynas Malaysia awal tahun ini.
Kilang itu juga dijadualkan memulakan pengeluaran satu lagi produk nadir bumi berat penting, iaitu Terbium (Tb), pada Jun 2025.
Menurut kumpulan itu, disprosium dan terbium merupakan komponen kritikal dalam pembuatan magnet nadir bumi berprestasi tinggi, yang digunakan secara meluas dalam kenderaan elektrik dan aplikasi elektronik canggih, termasuk mikro-kapasitor.
“Pembangunan litar pemisahan unsur nadir bumi berat baharu itu mencerminkan kemahiran dan kepakaran unik warga kerja kami. Saya amat berbangga dengan pencapaian pasukan dalam menghasilkan pengeluaran Dy pertama ini.
“Penambahan unsur nadir bumi berat terasing dalam rangkaian produk kami meletakkan Lynas dan juga Malaysia sebagai pembekal global bahan nadir bumi penting yang diperlukan untuk pembuatan abad ke-21,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.
Kilang bahan termaju Lynas Malaysia terletak di kawasan seluas 100 hektar dalam Kawasan Perindustrian Gebeng, sebuah zon petrokimia berhampiran Kuantan di pantai timur Semenanjung Malaysia.
Sejak penubuhannya pada 2012, Lynas Malaysia telah membekalkan bahan nadir bumi terasing kepada pelanggan di Asia Timur, Amerika Syarikat, dan Eropah.
Kilang itu memproses pekatan Mt Weld dan karbonat nadir bumi campuran melalui tiga peringkat proses utama iaitu pemecahan, pengekstrakan pelarut, dan penyempurnaan produk.
Bahan nadir bumi terasing yang dihasilkan di loji ini memainkan peranan penting dalam pelbagai aplikasi berteknologi tinggi termasuk elektronik, turbin angin, serta kenderaan hibrid dan elektrik. - DagangNews.com
standard


