M40 dapat Sara RM100 dua kali, pelepasan cukai dinaikkan

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 11:03 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: M40 dapat Sara RM100 dua kali, pelepasan cukai dinaikkan

KUALA LUMPUR – Golongan berpendapatan sederhana (M40) bakal menikmati pelbagai manfaat di bawah Belanjawan 2027, termasuk bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 sebanyak dua kali serta peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah itu merupakan antara pendekatan kerajaan untuk membantu golongan pertengahan yang turut terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, pemberian Sara RM100 sebanyak dua kali akan disalurkan sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara, dengan inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk M40.

“Selain itu, kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus, manakala bagi julat RM100,001 hingga RM150,000 diturunkan kepada 24 peratus.

“Kerajaan turut memperluas pelepasan cukai individu meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan, semua bidang pengajian dan tuisyen anak, selain langganan kecerdasan buatan (AI) serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang mahu Menteri Kewangan menyatakan langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar tetapi terkesan dengan peningkatan kos sara hidup serta mekanisme menilai semula kelayakan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa.

Sementara itu, Chin Tong berkata dalam usaha mengurangkan beban perbelanjaan bulanan, perlindungan subsidi elektrik turut diperluas kepada penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan, sekali gus membolehkan sehingga 90 peratus pengguna domestik menikmati penjimatan sehingga RM50 sebulan atau 15 peratus.

“Bagi pemilik kenderaan, kelayakan asas BUDI Madani sehingga 300 liter sebulan boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian RON95 atau diesel bersubsidi, manakala pemilik kenderaan diesel persendirian jenis jip dan pikap yang layak boleh menerima tambahan 100 liter sebulan.

“Kerajaan turut meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani kepada RM750 juta dengan sasaran 35,000 penganjuran, selain meneruskan Pas Bulanan My50 dan memperkenalkan MyKomuter50 yang dijangka membantu 40,000 pengguna KTM Komuter menjimatkan purata sehingga RM160 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid tanpa mengira golongan pendapatan.

“Bagi membantu pemilikan rumah pertama, kerajaan turut mencadangkan pengecualian duti setem 100 peratus bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik rumah berharga sehingga RM500,000.

“Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pengecualian penuh diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah menikmati pengecualian sebanyak 50 peratus,” katanya.

Katanya pendekatan itu bertujuan memastikan golongan M40 terus terangkum dalam menerima manfaat inisiatif kerajaan.- KOSMO! ONLINE

The post M40 dapat Sara RM100 dua kali, pelepasan cukai dinaikkan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved