
KUALA LUMPUR – Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi lokasi pengeluaran kepada sebuah negara yang mampu mencipta, mereka bentuk dan menghasilkan produk sendiri bagi berdepan persaingan global yang semakin sengit.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, konsep ‘Made in Malaysia’ yang diamalkan sejak puluhan tahun lalu perlu berkembang kepada ‘Made by Malaysia’ dengan memberikan penekanan terhadap bakat dan inovasi tempatan.
Menurutnya, pendekatan lama yang menyaksikan pelabur asing datang ke negara ini untuk membuka kilang dan menghasilkan produk mereka berjaya membantu pembangunan ekonomi Malaysia, namun negara kini perlu bergerak ke tahap seterusnya.
“Kita perlu bergerak melangkaui imitasi kepada inovasi. Jenama Malaysia harus beralih daripada konsep atau model ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’.
“Ia bukan sahaja dihasilkan, dikilangkan atau dibuat di negara kita, tetapi dihasilkan daripada bakat-bakat Malaysia. Dihasilkan dan direka oleh orang Malaysia,” katanya semasa memberikan ucapan pada BrandQuest 2026 & Majlis Apresiasi National Mark of Malaysian Brand di Hotek Hyatt Regency, Kuala Lumpur.
Steven berkata, kemampuan untuk terus berinovasi juga penting bagi memastikan syarikat tempatan sentiasa berada di hadapan meskipun berdepan risiko produk atau teknologi mereka ditiru pesaing.
Beliau mengambil contoh sebuah syarikat peralatan di Pulau Pinang yang mampu terus bertahan meskipun berdepan isu tarif dan risiko teknologi mereka melalui proses kejuruteraan songsang oleh pesaing.
Katanya, syarikat berkenaan tidak melihat perkara itu sebagai ancaman besar kerana sentiasa melakukan inovasi sehingga membolehkan mereka kekal selangkah di hadapan pesaing.
Dalam pada itu, Steven berkata, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas kukuh untuk membina jenama sendiri apabila nilai 100 jenama terbesar negara dilaporkan mencecah hampir AS$60 bilion berdasarkan Brand Finance Report 2024.
“Malaysia Boleh bukan slogan kosong. Kita bukan hanya jaguh kampung. Ia adalah slogan yang benar-benar mencerminkan keupayaan syarikat dan produk orang Malaysia.
“Kita tidak membina daripada kosong, kita sudah mempunyai asas yang kuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Made by Malaysia’ kunci hadapi persaingan global appeared first on Kosmo Digital.





