
SERDANG: Pingat emas acara 4×100 meter (m) wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 hampir pasti menjadi milik Terengganu sebelum papan skor Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) memaparkan keputusan yang mengejutkan apabila Sarawak diumumkan sebagai juara.
Dalam aksi final yang berlangsung sengit itu, pelari terakhir Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira tampil mengejar dengan pantas pada penghujung perlumbaan sehingga seakan-akan memberikan gambaran mereka bakal membawa pulang emas.
Malah, kem Terengganu turut meraikan kemenangan sejurus melintasi garisan penamat dan mengibarkan bendera negeri sebelum keputusan rasmi dipaparkan di papan skor.
Namun, segala-galanya berubah apabila nama Sarawak muncul sebagai pemenang, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan atlet dan pegawai kontinjen negeri berkenaan.
Kuartet Sarawak yang dibarisi Danea Humairah Shayrman Sufry, Alvinia Aivie Jackly, Syarifah Nur Alisya Syed Zafirna dan Ormilla Octavia Codday memenangi pingat emas dengan catatan masa 46.89 saat (s).
Itu merupakan pingat emas pertama 4×100 wanita Sarawak dalam sejarah penyertaan kejohanan sejak 1986.
Terengganu berpuas hati dengan pingat perak selepas membuat larian 46.94s meninggalkan kuartet Johor di tempat ketiga dengan catatan masa 47.24s.
Pelari Sarawak, Ormilla berkata, mereka sendiri tidak menyangka mampu memenangi perlumbaan tersebut kerana sasaran utama pasukan hanyalah memberikan aksi terbaik dan memperbaharui catatan terbaik memandangkan mereka baru seminggu.
“Pada mulanya, kami tak sangka yang kami dapat memenangi acara 4×100 ini sebab kami tak jangkakan pun yang kami akan menang.
“Kami cuma nak buat yang terbaik untuk Sarawak. Yang paling penting, kami nak perbaharui catatan terbaik pasukan kami,” katanya.
Ormilla mengakui mereka turut menyangka Terengganu memenangi perlumbaan apabila melihat wakil negeri itu meraikan kejayaan sejurus tamat saingan.
“Kami pun tak sangka yang gambar wakil Sarawak akan ditunjukkan dekat skrin, sebab kami pun ingat memang Terengganu yang menang. Jadi, kami rasa sangat gembira dan bangga sebab berjaya memenangi pingat emas untuk Sarawak,” katanya.
Ormilla turut berkata, bahawa pasukannya hanya berkesempatan berlatih bersama seminggu sebelum menyertai temasya berikutan faktor logistik dan masalah jerebu. – UTUSAN
The post Kuartet 4x100m Sarawak tuai emas bermakna appeared first on Utusan Malaysia.






