
KUALA LUMPUR – Malaysia perlu meninggalkan ‘model pasar malam’ yang terlalu bergantung kepada harga murah sekiranya mahu memastikan perniagaan tempatan kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, negara tidak lagi mempunyai kelebihan dari segi harga untuk terus bersaing dengan negara serantau mahupun kuasa ekonomi besar dunia.
Menurutnya, model perniagaan yang bergantung kepada kos buruh, utiliti, tanah dan cukai murah mungkin pernah memberikan kelebihan kepada negara, namun pendekatan itu perlu dinilai semula untuk tempoh 50 tahun akan datang.
“Saya panggil ini model pasar malam. Kenapa? Sebab persaingan kita bukan sahaja dengan negara-negara ekonomi besar, tetapi juga negara jiran kita.
“Kalau pergi pasar malam, gerai pertama jual RM10. Gerai di tengah jalan jual RM5 dan gerai di hujung jalan pula tidak boleh jual RM5, dia kena jual RM3.
“Ini persaingan ke bawah. Kalau kita masih menganggap harga murah sebagai satu kelebihan, kita sebenarnya sudah tidak lagi mempunyai kelebihan daya saing dari segi harga,” katanya semasa memberikan ucapan pada BrandQuest 2026 & Majlis Apresiasi National Mark of Malaysian Brand di Hotek Hyatt Regency, Kuala Lumpur.
Justeru, Steven berkata, jenama Malaysia perlu mengutamakan nilai berbanding harga supaya produk dan perkhidmatan tempatan mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing.
Katanya, pendekatan membawa masuk tenaga kerja asing semata-mata untuk menurunkan kos menjalankan perniagaan dan seterusnya menawarkan produk lebih murah juga tidak boleh menjadi penyelesaian jangka panjang.
“Jenama Malaysia harus mencerminkan nilai dan bukan harga. Mahu tidak mahu, hari ini kita tidak lagi mempunyai kelebihan dari segi harga,” katanya.
Selain nilai, beliau berkata, jenama Malaysia perlu membawa ciri keselamatan dan kesihatan memandangkan ketidaktentuan serta konflik global sebenarnya membuka peluang kepada negara untuk dilihat sebagai destinasi selamat.
Menurutnya, produk Malaysia juga perlu memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa ia selamat digunakan, bersih, sihat dan berkualiti. – KOSMO! ONLINE
The post Sudah tiba masa tinggalkan model ‘pasar malam’ – Steven Sim appeared first on Kosmo Digital.





