Madu Atau Racun jadi pencetus dialog kerajaan, industri – PTVM

LocalEntertainment
2 Sep 2026 • 4:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Madu Atau Racun jadi pencetus dialog kerajaan, industri – PTVM

PETALING JAYA – Bukan hanya jadi polemik, kontroversi drama Madu atau Racun diharap menjadi titik permulaan kepada dialog lebih serius antara kerajaan, pemain industri kreatif dan pengendali platform penstriman (OTT) agar dapat mencari kata putus dalam menangani isu yang kini hangat diperdebatkan.

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, isu berhubung drama disiarkan menerusi platform iQIYI itu perlu dilihat sebagai peluang untuk membentuk ekosistem kandungan digital yang lebih bertanggungjawab, progresif dan mempunyai garis panduan jelas.

“Pihak kami menghormati pendirian kerajaan dalam memastikan kandungan yang disajikan kepada masyarakat mengambil kira sensitiviti agama, budaya, nilai masyarakat serta keharmonian negara.

“Pada masa sama, isu ini harus dilihat sebagai peluang untuk kerajaan, pemain industri dan pengendali OTT duduk semeja bagi membentuk sebuah ekosistem kandungan yang lebih bertanggungjawab, progresif dan jelas dari sudut garis panduan.

“Perubahan landskap penyiaran hari ini berlaku dengan sangat pantas. Kandungan tidak lagi hanya disampaikan melalui televisyen dan pawagam, tetapi berkembang menerusi OTT, media sosial serta pelbagai platform digital yang merentasi sempadan,” katanya.

Menurut Jurey, pendekatan terhadap industri kreatif juga perlu berkembang seiring perubahan teknologi dan corak tontonan masyarakat yang semakin kompleks.

Ujarnya, kebebasan berkarya perlu hadir bersama tanggungjawab, namun perkara itu harus dibina menerusi kefahaman bersama, garis panduan yang jelas serta komunikasi berterusan antara kerajaan, agensi pengawal selia, platform dan penggiat industri.

“Dialog antara kerajaan dan industri perlu dilakukan secara berterusan sebelum sesuatu isu berlaku supaya penggiat memahami batas sensitiviti negara, manakala kerajaan pula memahami realiti, perkembangan dan cabaran dunia kandungan yang semakin kompleks.

“PTVM mencadangkan supaya Kementerian Komunikasi bersama Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), wakil platform OTT serta persatuan industri berkaitan untuk mengadakan sesi libat urus kandungan digital dan OTT sebagai langkah mengatasi isu kandungan sensitif di platform berkenaan,” katanya.

Jurey berkata, sesi tersebut bukan bertujuan menyekat kreativiti, sebaliknya mencari titik keseimbangan antara kebebasan berkarya, kepentingan komersial, perkembangan industri dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Tidak seharusnya kita hanya duduk semeja apabila sesuatu karya menjadi kontroversi, kerajaan menyalahkan industri, industri menyalahkan platform dan platform pula mempunyai tafsiran tersendiri terhadap garis panduan,” katanya.

Tambahnya, industri kandungan Malaysia memerlukan ekosistem yang dibina atas kerjasama dan kepercayaan, bukan sekadar tindakan selepas sesuatu isu menjadi panas.

Pada masa sama, PTVM menyatakan kesediaan memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan, syarikat penerbitan, pengkarya dan platform bagi membantu membentuk kerangka industri kandungan Malaysia yang lebih bertanggungjawab serta mampu berkembang dalam pasaran digital dan antarabangsa.

Sejak beberapa hari lalu kecoh di laman sosial mengenai babak dalam drama bersiri lakonan Aliff Aziz, Elisya Sandha serta Uqasha Senrose yang didakwa menjurus kepada pelakuan LGBTQ.

Teguran ramai terhadap naskhah siaran IQIYI itu turut meraih perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyuarakan pendirian tegas terhadap penayangan drama Madu Atau Racun serta menolak yang menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE

The post Madu Atau Racun jadi pencetus dialog kerajaan, industri – PTVM appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved