Siasatan kes FELDA masih berjalan, kemerosotan pelaburan dan isu tanah diteliti - PM Anwar

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 12:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Siasatan kes FELDA masih berjalan, kemerosotan pelaburan dan isu tanah diteliti - PM Anwar Image from: Siasatan kes FELDA masih berjalan, kemerosotan pelaburan dan isu tanah diteliti - PM Anwar liza20/10/2026 - 12:46 Menara Felda di Jalan Tun Razak - Gambar Johardy Ibrahim/DagangNews Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), termasuk anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC) masih berjalan dengan beberapa kes telah memasuki peringkat pendakwaan dan prosiding mahkamah.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara individu yang telah melalui proses pendakwaan dalam kes berkaitan FELDA ialah bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

 

“Selain itu, masih ada lagi yang telah didakwa termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid bin Abdul Jalil dan juga bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull bin Ahmad,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai perkembangan terkini siasatan kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan FELDA serta FIC di Dewan Rakyat hari ini.

 

Siasatan selepas tahun 2022

Anwar berkata, isu berkaitan FELDA telah dibangkitkan melalui Kertas Putih pada 2019, namun tindakan susulan yang lebih serius hanya dimulakan selepas kerajaan mengambil alih pentadbiran pada 2022.

 

Menurut beliau, kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas FELDA bagi meneliti isu berkenaan sebelum proses siasatan diteruskan.

 

Beliau menjelaskan bahawa proses siasatan mengambil masa, antaranya kerana kertas siasatan perlu dikemukakan kepada Peguam Negara untuk penelitian dan dikembalikan kepada pihak penyiasat bagi melengkapkan perkara yang masih belum mencukupi.

 

Anwar berkata, dalam sesetengah kes, kertas siasatan dikemukakan kepada Peguam Negara sebanyak tiga hingga empat kali sebelum proses seterusnya dapat diteruskan.

 

Beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan perlu berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang mencukupi, manakala keputusan pendakwaan bergantung pada proses undang-undang serta kecekapan pihak berkuasa berkaitan.

 

Pelaburan Eagle High Plantations susut 87.9%

Dalam perkembangan berkaitan kedudukan kewangan FELDA, Anwar mendedahkan bahawa nilai pelaburan FELDA dalam Eagle High Plantations merosot daripada AS$505.4 juta kepada AS$61.3 juta setakat Ogos 2026.

 

Penurunan sebanyak 87.9% itu, menurut beliau, bersamaan kerugian kira-kira RM2 bilion.

 

“Kerugian dalam perniagaan tidak semestinya menjadi asas pendakwaan, sebaliknya siasatan perlu meneliti sama ada wujud salah urus, keputusan yang tidak wajar atau amalan penyelewengan dalam urus niaga terbabit.

 

“Kedudukan kewangan FELDA terjejas sehingga kerajaan perlu menyediakan bantuan bagi memulihkan institusi berkenaan, yang berkaitan dengan kepentingan ratusan ribu peneroka,” katanya.

 

Kos pemulihan FELDA cecah RM9.9 bilion

Anwar berkata, kerajaan telah menanggung perbelanjaan berjumlah RM9.9 bilion bagi usaha pemulihan FELDA, termasuk RM3.3 bilion untuk penyahsenaraian FGV Holdings Berhad dan RM5.7 bilion bagi penstrukturan semula pinjaman lain.

 

Beliau turut menyebut bayaran RM990 juta setahun serta peruntukan RM450 juta untuk memulihkan rumah pengurus FELDA.

 

Menurut beliau, kerajaan juga berusaha membawa perkhidmatan daripada jabatan dan kementerian berkaitan, termasuk pendidikan dan kesihatan, ke kawasan FELDA serta membantu menyediakan pusat dialisis.

 

Anwar berkata, langkah berkenaan bertujuan menangani kesan masalah kewangan FELDA tanpa memindahkan beban berkenaan kepada peneroka.

 

Urus niaga tanah FELDA masih dalam siasatan

Selain isu pelaburan, Anwar turut membangkitkan urus niaga tanah FELDA di Semantan yang dikaitkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang menurut beliau masih dalam siasatan.

 

Beliau berkata, tanah seluas 24 ekar berkenaan mempunyai nilai penilaian sekitar RM500 juta pada 2014, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai urus niaga aset berkenaan.

 

Menurut Anwar, usaha memulihkan kedudukan FELDA termasuk menangani perjanjian yang dipertikaikan memerlukan penelitian dan masa.

 

Beliau berkata, kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk meneruskan siasatan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam salah laku.

 

“Tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan bagi memastikan isu yang menjejaskan FELDA ditangani dan amalan seumpama itu dapat dicegah pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved