Reservoir Link bangunkan loji solar RM570 juta di Tinjar, Sarawak

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Reservoir Link bangunkan loji solar RM570 juta di Tinjar, Sarawak Image from: Reservoir Link bangunkan loji solar RM570 juta di Tinjar, Sarawak amree17/09/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 SeptReservoir Link Energy Berhad membangunkan kemudahan tenaga solar berskala utiliti berkapasiti 200MWac di Tinjar, Sarawak dengan kos pembangunan dianggarkan RM570 juta, sekali gus menjadi projek tenaga boleh diperbaharui (RE) terbesar kumpulan setakat ini.

 

Anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya, RL Kenyalang Solar Sdn Bhd, memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Syarikat SESCO Berhad (SESCO) pada 17 September 2026 bagi mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan tersebut.

 

Di bawah PPA selama 30 tahun, RL Kenyalang akan menjana dan membekalkan tenaga elektrik solar kepada SESCO, iaitu syarikat utiliti negeri tersebut yang merupakan subsidiari milik penuh Sarawak Energy Berhad.

 

"Loji solar berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 243 hektar di Tinjar, dengan kerja pembinaan disasarkan bermula Januari 2028 dan tarikh operasi komersial (COD) pada 31 Disember 2029," menurut Reservoir Link dalam kenyataan.

 

Apabila beroperasi, loji berkenaan dijangka mengeksport kira-kira 401 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik bersih setahun, yang mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada anggaran 100,000 isi rumah.

 

Kemudahan itu juga dijangka mengimbangi kira-kira 80,000 tan karbon dioksida setara (CO2e) setahun berdasarkan faktor pelepasan grid Sarawak, sekali gus menyumbang kepada usaha peralihan tenaga bersih negeri berkenaan.

 

Reservoir Link_DagangNews2026

 

Reservoir Link berkata projek tersebut menandakan perkembangan penting dalam transformasi daripada asas perkhidmatan minyak dan gas (O&G) kepada syarikat tenaga bersepadu yang semakin memberi tumpuan kepada pembangunan, pemilikan dan pengoperasian infrastruktur tenaga.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Thien Chiet Chai berkata, projek berkenaan mencerminkan keyakinan SESCO dan Sarawak Energy terhadap keupayaan kumpulan, selain membuka ruang kepada Reservoir Link untuk membangunkan infrastruktur tenaga masa depan berasaskan kepakaran sedia ada.

 

"Dari perspektif ekonomi negeri, pembinaan dan operasi loji selama 30 tahun itu dianggarkan menyokong antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung dalam bidang kerja awam, elektrik, pemasangan solar, operasi dan penyelenggaraan," katanya.

 

Kumpulan tersebut juga ujarnya, akan memberi keutamaan kepada bakat Sarawak dan kandungan tempatan sepanjang kitaran hayat projek, termasuk melalui perolehan tempatan, pembangunan vendor dan pemindahan kemahiran.

 

Sementara itu, RL Kenyalang akan meneruskan usaha ke arah penutupan kewangan serta memuktamadkan aturan projek dan pembiayaan sebelum memasuki peringkat kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC). 

 

Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, PPA itu tidak dijangka memberi kesan material kepada modal saham, struktur pegangan saham, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved