Mah Sing, KLK Land buka jualan Fasa 1B taman perindustrian RM2.2 bilion di Johor

23 Oct 2026 • 3:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mah Sing, KLK Land buka jualan Fasa 1B taman perindustrian RM2.2 bilion di Johor Image from: Mah Sing, KLK Land buka jualan Fasa 1B taman perindustrian RM2.2 bilion di Johor liza23/10/2026 - 15:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Mah Sing Group Berhad dan KLK Land Sdn Bhd membuka jualan Fasa 1B bagi pembangunan MS Industrial Park @ Kulai di Johor, selepas Fasa 1A mencatat kadar tempahan melebihi 90%.

 

Projek usaha sama bernilai RM2.2 bilion itu dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 419.17 ekar dalam Zon E, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Pembukaan jualan fasa baharu itu memberi peluang kepada syarikat untuk mendapatkan premis dan tanah perindustrian bagi menubuhkan atau mengembangkan operasi mereka di Johor.

 

Pembangunan berkenaan dirancang dalam lima fasa, merangkumi kilang dua tingkat jenis berkembar dan berdiri sendiri, lot tanah perindustrian serta tapak bersaiz lebih besar yang sesuai untuk kemudahan pembuatan khusus dan pusat data.

 

Fasa 1B tawar kilang, lot tanah perindustrian

Fasa pertama pembangunan itu menawarkan kilang dua tingkat jenis berkembar dengan keluasan tanah 70 kaki x 160 kaki dan keluasan binaan 6,710 kaki persegi.

 

Kilang jenis berdiri sendiri pula mempunyai keluasan tanah 90 kaki x 200 kaki serta keluasan binaan 8,802 kaki persegi.

 

Selain premis kilang, pembeli turut mempunyai pilihan lot tanah perindustrian berkeluasan kira-kira satu hingga lapan ekar yang boleh dibangunkan mengikut keperluan operasi masing-masing.

 

Tanah berkenaan boleh digunakan untuk pelbagai kemudahan termasuk kilang pembuatan, gudang, hab logistik, operasi berkaitan teknologi dan pusat data.

 

Kepelbagaian produk itu menyasarkan pelbagai sektor, antaranya pembuatan termaju, elektrik dan elektronik, semikonduktor, makanan dan minuman, aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), farmaseutikal serta infrastruktur digital.

 

t

 

Mah Sing pegang 60% kepentingan dalam usaha sama

Mah Sing memegang 60% kepentingan dalam usaha sama itu, manakala baki 40% dimiliki KLK Land, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pengalaman kumpulan itu membangunkan lima taman perindustrian di Lembah Klang dan Johor menjadi asas kepada pembangunan berkenaan, yang merupakan projek perindustrian keenamnya.

 

Beliau berkata, Kulai mempunyai prospek pertumbuhan yang disokong kedudukannya berhampiran Singapura, pembangunan infrastruktur serta pertumbuhan industri bernilai tinggi di Johor.

 

Menurutnya, MS Industrial Park @ Kulai dirancang sebagai persekitaran perniagaan bersepadu bagi membantu syarikat mengembangkan operasi dan membina hubungan dalam ekosistem perindustrian yang lebih luas.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan KLK, William Ong Eng San berkata, usaha sama tersebut merupakan langkah awal untuk membangunkan tanah milik kumpulan itu di Kulai serta memperkenalkan komponen perindustrian dalam pelan pembangunan lebih besar.

 

Beliau berkata, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada pegangan tanah KLK Land seluas kira-kira 2,500 ekar di Kulai yang dirancang untuk dibangunkan secara berperingkat, merangkumi komponen perindustrian, komersial dan kediaman.

 

Kedudukan strategik, kemudahan mampan

MS Industrial Park @ Kulai terletak kira-kira 15.8 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 10 kilometer dari Lebuhraya Utara-Selatan dan 11.7 kilometer dari Lebuhraya Laluan Kedua.

 

Pembangunan itu juga terletak kira-kira 12.4 kilometer dari Lebuhraya Senai-Desaru dan 27.7 kilometer dari Lebuhraya Pasir Gudang.

 

Selain itu, taman perindustrian berkenaan berada dalam lingkungan kira-kira 50 kilometer dari Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor, serta 40 kilometer dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin JB Sentral. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved