liza19/10/2026 - 15:12 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Mah Sing Group Bhd kini membuka tempahan fasa kedua projek kediaman M Mira di Wangsa Maju selepas fasa pertama mencatat kadar jualan 93%.
Pemaju hartanah itu menawarkan 633 unit untuk fasa kedua dengan harga indikatif bermula RM474,000.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata kumpulan akan terus mencari tanah di lokasi strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan baik.
“Pada masa sama, Mah Sing juga akan memanfaatkan kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh untuk meneroka peluang perniagaan baharu,” katanya.
Berhampiran dua stesen LRT
M Mira menawarkan unit kediaman separa berperabot dengan keluasan binaan antara 800 hingga 1,050 kaki persegi serta lima unit kediaman dengan laman taman di aras lapan yang mempunyai akses terus ke dek podium.
Dari segi kelestarian, pembangunan berkenaan menerima Pensijilan Sementara GreenRE Silver susulan penerapan ciri mesra alam.
Lokasinya kira-kira 650 meter dari Stesen LRT Sri Rampai dan 820 meter dari Stesen LRT Wangsa Maju, selain mempunyai akses ke lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Setiawangsa–Pantai (SPE), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).
Infrastruktur Digital
Mah Sing turut melihat potensi besar dalam sektor infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) apabila mengenal pasti beberapa tapak strategik di Southville City, Meridin East dan MS Industrial Park @ Kulai untuk pembangunan berkaitan pusat data.
Menurut kumpulan itu, aset-aset tersebut menawarkan fleksibiliti untuk diterokai menerusi pelbagai model perniagaan termasuk penjualan tanah, pajakan, bina dan pajak (build-to-lease) serta kerjasama strategik yang berpotensi membuka nilai baharu kepada syarikat.
Pada masa sama, kedudukan kewangan yang kukuh terus menjadi antara kelebihan kompetitif utama Mah Sing. - DagangNews.com






