MAHA 2026: Ilmu pertanian untuk semua

29 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MAHA 2026: Ilmu pertanian untuk semua

PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 terus menjadi pentas penting untuk memperlihatkan perkembangan, inovasi dan teknologi terkini sektor agromakanan negara.

Bagi Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), DATUK DR. MOHAMAD ZABAWI ABDUL GHANI, agensi kerajaan itu sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada perjalanan MAHA sebagai tuan rumah, selain membawa hasil penyelidikan dan inovasi pertanian untuk dikongsi bersama pengunjung.

Katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, LAUPA JUNUS dan AQILAH MIOR KAMARULBAID, penglibatan MARDI merangkumi pelbagai teknologi, varieti tanaman serta kaedah penanaman yang boleh diterapkan dalam sektor pertanian dan kehidupan harian.

Pada edisi kali ini, MARDI mengetengahkan tiga laman utama iaitu Laman Sayur-sayuran, Laman Herba dan Laman Kelulut. Setiap ruang menampilkan fokus tersendiri, termasuk teknologi penanaman, kepelbagaian tanaman, sistem penternakan kelulut serta hasil penyelidikan yang mempunyai nilai kepada masyarakat.

Dalam temu bual yang turut disertai jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI, beliau menjelaskan sasaran sekitar sejuta pengunjung ke laman berkenaan membuka ruang penting untuk mendekatkan hasil penyelidikan dan ilmu pertanian kepada masyarakat.


UTUSAN : Jelaskan tentang sedikit latar belakang MAHA dan objektif penganjurannya tahun ini?
MOHAMAD ZABAWI: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan sektor pertanian negara. Penganjurannya bermula sejak penubuhan Malayan Agri-Horticulture Association pada Oktober 1922, ketika negara masih berada di bawah pentadbiran British. Pameran sulung berlangsung di Padang Kelab Lumba Kuda Selangor dari 30 Jun hingga 2 Julai 1923 dengan mengetengahkan hasil terbaik dalam bidang pertanian dan hortikultur.

Pada peringkat awal, MAHA menjadi platform memperkenalkan pelbagai hasil seperti tanaman, buah-buahan, ternakan, bunga-bungaan, kraftangan serta inovasi pertanian. Produk yang dipamerkan terlebih dahulu melalui proses saringan bagi memastikan hanya hasil berkualiti diketengahkan kepada pengunjung. Penganjuran itu secara tidak langsung mencerminkan perkembangan sektor pertanian sebagai antara asas penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Bagaimanapun, selepas melalui beberapa perubahan susulan keadaan luar jangka, termasuk darurat pada 1969, kerajaan pada 1972 memperkenalkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) yang mula dianjurkan pada 1975. MAHA kemudiannya dihidupkan semula pada 1999 sebelum penganjurannya dilaksanakan secara dwitahunan mulai 2002.

MAHA memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang menjana pembangunan ekonomi negara dengan mengetengahkan produk terbaik dan terkini.

Bagi penganjuran tahun ini, penekanan diberikan kepada usaha meningkatkan nilai sepanjang rantaian agromakanan. Pendekatan itu turut diterjemahkan melalui penglibatan MARDI menerusi tiga laman utama, iaitu Laman Sayur-sayuran, Laman Herba dan Laman Kelulut.

Laman Sayur-sayuran memberi fokus kepada pertanian bandar dengan memperlihatkan bagaimana tanaman bukan sekadar berfungsi sebagai hiasan, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai sumber makanan. Tarikan utama tahun ini ialah House of Chilies yang membawa pengunjung menelusuri keseluruhan proses penanaman cili, bermula daripada nurseri dan anak benih sehingga menghasilkan pokok serta produk berasaskan cili.

House of Chilies turut menghimpunkan pelbagai jenis cili yang terdapat di Malaysia, sekali gus memberikan pengalaman lebih dekat kepada pengunjung untuk mengenali kepelbagaian tanaman berkenaan. Mereka juga boleh mendapatkan pandangan dan nasihat berkaitan penjagaan tanaman menerusi Klinik Tanaman.

Laman Herba pula mengetengahkan pelbagai tumbuhan yang mempunyai nilai sebagai sumber ubatan atau bahan mentah, antaranya selasih, kesum, tabung nyawa dan mahkota dewa. Tanaman seperti keledek dan ubi kayu turut diketengahkan bagi memperlihatkan potensi hasil pertanian dalam mencipta nilai ekonomi.

Sementara itu, Laman Kelulut mempamerkan sistem penternakan kelulut, kepelbagaian spesies serta produk yang dihasilkan. Kesemua laman berkenaan bukan sekadar menjadi ruang pameran, malah berfungsi sebagai medan pembelajaran yang membolehkan pengunjung melihat sendiri kaedah penanaman, mengenali hasil pertanian dan memahami potensinya secara lebih dekat serta praktikal.

 

Bagaimana mahu mengetengahkan teknologi MARDI kepada pengunjung MAHA sekali gus mereka dapat manfaat darinya?

Kita menganggarkan sekitar sejuta pengunjung datang ke Laman Herba dan Laman Sayuran. Kita juga berharap mereka yang datang bukan sekadar melihat-lihat tanaman.

Kunjungan itu seharusnya menjadi peluang untuk menambah ilmu, mengenali pelbagai jenis tanaman dan spesies yang terdapat di laman herba serta memahami kegunaannya.

Paling penting, pengunjung perlu membawa pulang ilmu yang diperoleh sepanjang lawatan. Sebagai contoh, di House of Chilies nanti, kita akan memperlihatkan sistem dan kaedah penanaman cili.

Pengunjung boleh belajar cara menanam serta menjaga pokok, termasuk jika tanaman itu ditanam dalam polibeg.

Begitu juga di Laman Sayur yang mengetengahkan pelbagai teknologi penanaman seperti Green Cage. Pengunjung boleh melihat sendiri terdapat sistem tertentu yang membolehkan sayur ditanam di ruang terhad, termasuk di balkoni rumah atau kediaman bertingkat.

Jadi, jika ada yang beranggapan mereka tidak boleh menanam sayur kerana tidak mempunyai tanah, sebenarnya terdapat teknologi dan kaedah yang boleh digunakan.

Maklumat seperti inilah yang kita mahu pengunjung pelajari dan bawa pulang.

Dengan cara itu, lawatan ke laman-laman berkenaan bukan sekadar memberi pengalaman melihat tanaman tetapi turut memberikan pengetahuan yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Berapa banyak teknologi di Laman Sayur-sayuran, Laman Herba dan Laman Kelulut?

Kita mempunyai 50 teknologi merangkumi teknologi berkaitan kelulut, tanaman herba dan sayur-sayuran.

Jadi, kunjungan ke sini sebenarnya memberi peluang kepada pengunjung untuk mempelajari pelbagai teknologi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Sekurang-kurangnya, mereka boleh membawa pulang pengetahuan baharu. Sebagai contoh, apabila melihat tanaman sayur, pengunjung boleh mengetahui kewujudan teknologi seperti Green Cage, sistem fertigasi biasa dan sistem fertigasi bertingkat.

Mereka juga boleh melihat contoh rumah tanaman atau kemudahan yang lebih moden untuk penanaman.

Ilmu seperti ini boleh dibawa pulang dan disesuaikan mengikut keperluan masing-masing. Sebab itu kita melihat lawatan ke sini bukan sekadar untuk melihat tanaman, sebaliknya menjadi ruang pembelajaran yang mempunyai pelbagai teknologi untuk diterokai.

 

Kenapa perlu ke MAHA 2026?

Pertama sekali, lawatan ke sini boleh menjadi satu pengalaman untuk menambah pengetahuan mengenai pelbagai jenis tanaman yang ada. Kadang-kadang kita melihat sesuatu pokok tetapi tidak tahu namanya. Ada yang sebenarnya sudah menanam pokok berkenaan di rumah, sama ada dalam pasu atau di halaman tetapi tidak mengetahui nama dan kegunaannya.

Apabila datang ke Laman sayur@MAHA , setiap tanaman mempunyai label. Jadi, pengunjung boleh mengetahui, “Oh, ini rupanya pokok ini dan kegunaannya begini.” Pengetahuan seperti inilah yang kita mahu mereka bawa pulang supaya dapat dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

Selain kawasan tanaman, kita juga mempunyai ruang pameran di dalam dewan yang menggabungkan penyertaan pelbagai agensi. Kita turut mengetengahkan elemen agropelancongan, termasuk tanaman seperti padi dan kelapa.
Di dalam dewan itu juga terdapat beberapa pelancaran varieti. Antaranya termasuk ubi keledek dan buah pomelo.

 

Apa pula peranan MARDI dalam memastikan ilmu, teknologi dan hasil penyelidikan seperti ini dapat disampaikan kepada masyarakat?

Dari segi sasaran, kita memang menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menghasilkan sekitar 50 teknologi setiap tahun. Sasaran itu sudah kita tetapkan sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan terus menjadi ukuran pencapaian sehingga sekarang.

Kebanyakan teknologi yang dihasilkan berkaitan perkara yang boleh dimanfaatkan secara terus, termasuk produk dan formulasi makanan. Bagi tanaman jangka pendek, jika teknologi atau varieti itu sudah bersedia untuk diperkenalkan pada tahun berkenaan, kita akan keluarkan pada tahun tersebut. Untuk tanaman yang mengambil tempoh lebih panjang, bergantung kepada tempoh penyelidikan dan penghasilannya.

Selain itu, teknologi berkaitan jentera yang sudah bersedia juga boleh diperkenalkan.

Dari segi penerima pula, kita mempunyai beberapa pendekatan. Jika teknologi tersebut mempunyai nilai komersial, kita akan komersialkannya kepada syarikat yang berminat. Syarikat berkenaan kemudiannya boleh mengambil dan memasarkan teknologi atau produk tersebut. Contohnya, produk baja dan racun boleh dikomersialkan melalui syarikat.

Begitu juga dengan formulasi makanan yang lebih besar dan mempunyai nilai komersial. Jika ada syarikat yang berminat, teknologi atau formulasi tersebut boleh dikomersialkan.

Pada masa sama, terdapat teknologi yang dikategorikan sebagai manfaat awam. Contohnya ialah varieti-varieti tanaman yang dihasilkan. Varieti seperti ini boleh digunakan oleh masyarakat dan tidak dikenakan bayaran lesen. Kita hanya mengekalkan hak harta intelek terhadap teknologi atau varieti tersebut.

Kebanyakan varieti tanaman yang kita hasilkan termasuk dalam kategori manfaat awam. Sebagai contoh, apabila sesuatu varieti benih dilancarkan, masyarakat boleh mendapatkan dan menggunakannya tanpa perlu membayar lesen.

Bagi industri makanan pula, pendekatan kita berbeza mengikut jenis teknologi. Untuk industri kecil, kita membantu usahawan menghasilkan atau menambah baik formulasi produk. Jika formulasi itu mudah, kita boleh jadikannya manfaat awam.

Tetapi bagi formulasi yang lebih kompleks dan mempunyai nilai komersial, kita boleh komersialkannya.

Satu lagi pendekatan ialah kita bekerjasama secara terus dengan usahawan. Kita membantu menambah baik formulasi dan produk mereka. Ada yang sudah mempunyai syarikat, ada yang merupakan syarikat pemula dan ada juga yang masih berada pada peringkat pembangunan produk. Kerjasama seperti ini memang antara pendekatan yang kita gunakan untuk memastikan teknologi dapat dimanfaatkan oleh usahawan.

Namun, terdapat bidang tertentu yang menjadi keutamaan kerana berkait rapat dengan jaminan makanan negara. Antaranya ialah padi dan makanan ternakan. Dalam perkara ini, kita perlu melihat apa yang boleh kita sumbangkan kepada masyarakat dan kerajaan.

Dalam sektor padi misalnya, MARDI sudah menghasilkan 59 varieti, termasuk beras khusus, beras pulut, beras wangi serta varieti beras biasa seperti MRQ74 dan MRQ76. Ini merupakan antara sumbangan terbesar MARDI kepada negara.

Lebih 90 peratus petani atau penanam padi di Malaysia menggunakan varieti yang dihasilkan MARDI. Sebab itu kita perlu memastikan bekalan benih asas sentiasa mencukupi untuk pengeluar benih.

Kita menghasilkan sekitar 150 tan benih asas setahun untuk dua musim penanaman. Benih asas ini dijual kepada pengeluar benih, sebelum mereka mengeluarkan benih untuk digunakan oleh para petani.

Bagi varieti tanaman lain pula, kita terus berusaha memperkenalkannya kepada masyarakat kerana ada kalanya orang ramai sendiri tidak mengetahui MARDI mempunyai pelbagai varieti yang boleh digunakan.

Dengan adanya pusat jualan dan usaha menempatkan produk serta varieti Ma rdi di jabatan-jabatan berkaitan, kita mahu memudahkan orang ramai mendapatkannya.

Apabila seseorang pergi ke nurseri dan bertanya sama ada terdapat varieti tertentu, mereka akan mula mengetahui varieti tersebut sebenarnya dihasilkan MARDI.

Antaranya termasuk varieti durian, rambutan dan kelapa. Ramai yang sebelum ini tidak mengetahui MARDI turut mempunyai varieti kelapa sendiri. Namun, perkara itu semakin diketahui melalui projek-projek perintis yang dilaksanakan.

Melalui projek perintis di bawah peruntukan RMK12 dan RMK13, kita memberikan benih secara percuma kepada peserta yang mempunyai tanah untuk mengusahakan tanaman tertentu.

Jika mereka mahu menanam durian, kita berikan benih durian. Jika mahu menanam kelapa, kita berikan benih kelapa. Selain benih, mereka turut mendapat khidmat nasihat teknikal.

Daripada situ, masyarakat mula mengetahui MARDI mempunyai varieti-varieti tersebut. Apabila mereka mengetahui dan menggunakannya, kesedaran terhadap varieti MARDI turut berkembang.

Dalam sektor ternakan pula, kita sudah mula memperkenalkan KK Elite, khususnya baka jantan yang mempunyai saiz lebih besar. Kita mula menyalurkannya kepada ladang pengganda bagi memperkenalkan baka tersebut dengan lebih meluas. Kita juga sudah mula menyimpan semen untuk tujuan berkenaan.

Bagi kambing pula, kita mempunyai kambing Kacang MARDI. Sebenarnya banyak teknologi dan baka yang sudah kita hasilkan, cuma ada antaranya yang belum begitu dikenali oleh masyarakat.

Antara yang kini mendapat perhatian ialah ayam saga, iaitu ayam kampung MARDI. Permintaan terhadap ayam saga semakin mendapat perhatian dan pengeluar anak ayam juga semakin bertambah. Kini terdapat hampir sembilan pengeluar yang mengeluarkan benih ayam berkenaan.

Ayam saga merupakan ayam yang dibangunkan di Malaysia, jadi kita tidak bergantung kepada baka dari luar negara. Sebab itu permintaan terhadapnya semakin mendapat perhatian dan ramai yang berminat untuk mengusahakannya.

Bagi pengembangan teknologi dan baka tersebut, kita juga mempunyai projek kerajaan yang sedang dilaksanakan. Antaranya projek di Kelantan, termasuk di Pasir Putih, yang akan menjadi antara lokasi seterusnya untuk pelaksanaan projek berkenaan.

The post MAHA 2026: Ilmu pertanian untuk semua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved