MAHA 2026 catat 121 MoU bernilai RM8 bilion

LocalBusiness & Finance
29 Aug 2026 • 1:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MAHA 2026 catat 121 MoU bernilai RM8 bilion

SERDANG: Sebanyak 121 memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM8 bilion berjaya dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah berkenaan, kira-kira RM4 bilion membabitkan kerjasama dengan China, manakala RM4 bilion lagi daripada negara-negara lain.

Beliau berkata, MoU berkenaan merangkumi pelbagai bentuk kerjasama termasuk pertukaran teknologi, peluang pelaburan, eksport produk tempatan serta pembangunan kapasiti dan latihan.

“Daripada RM8 bilion itu, dianggarkan RM4 bilion sahaja daripada China dan RM4 bilion lagi daripada lain-lain negara.

“Dari segi bilangan MoU yang kita dah ada, lebih kurang 121 MoU dalam rangkuman pelbagai aktiviti kerjasama. Ada yang membabitkan pertukaran teknologi, ada juga yang ingin melabur di sini dan ada peluang untuk produk-produk kita dieksport ke luar negara.

“Termasuk juga pembangunan kapasiti latihan, latihan untuk peladang-peladang dan terutamanya dalam bidang TVET,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian MAHA 2026, di sini.

Tambah Mohamad, MAHA 2026 turut disertai delegasi antarabangsa dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Kenya, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda, Sepanyol, Thailand dan Palestin.

Beliau berkata, penyertaan berkenaan membuka peluang kepada Malaysia memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa dalam sektor pertanian, selain memperkenalkan inovasi serta teknologi yang diketengahkan negara luar.

“Saya difahamkan beberapa persefahaman kerjasama antara negara akan dimuktamadkan pada MAHA 2026 kali ini.

“Saya mendoakan jalinan yang dijalinkan akan memberi pulangan positif kepada negara, khususnya sektor agromakanan,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak mahu melihat MoU sekadar ditandatangani, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang peningkatan jualan eksport dan hasil pengusaha tempatan.

Katanya, syarikat baharu atau ‘start-up’ dalam bidang agroteknologi juga perlu diberi peluang mendapatkan suntikan modal daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Pihak KPKM tidak hanya mahu melihat MoU ditandatangani, tetapi juga peluang-peluang peningkatan jualan eksport serta hasil pengusaha tempatan, terutamanya syarikat-syarikat baharu ‘start-up’ dalam bidang agroteknologi memperoleh suntikan modal pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

The post MAHA 2026 catat 121 MoU bernilai RM8 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved