MAHB bersetuju kembalikan saringan fizikal berasaskan risiko di KLIA

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAHB bersetuju kembalikan saringan fizikal berasaskan risiko di KLIA Image from: MAHB bersetuju kembalikan saringan fizikal berasaskan risiko di KLIA amree20/08/2026 - 17:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 OgosMalaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melihat pelan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan di lapangan terbang dan pintu masuk negara sebagai amat menyeluruh.

 

Usaha itu menurutnya dalam kenyataan, termasuk membenarkan semula saringan fizikal secara bersasar berdasarkan penilaian risiko terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Jelasnya, pendekatan pelbagai agensi yang lebih terselaras membolehkan setiap pihak menjalankan tanggungjawab mengikut bidang kepakaran masing-masing, sekali gus membolehkan pengendali lapangan terbang memberi tumpuan kepada mandat teras memastikan operasi penerbangan yang selamat, terjamin dan cekap.

 

"Peranan dan akauntabiliti lebih jelas menerusi National Immigration Command Centre (NICC) serta Jawatankuasa Teknikal Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membantu memperkemas pelaksanaan langkah keselamatan di pintu masuk negara," kata MAHB.

 

Pendekatan itu turut melibatkan pegawai penghubung daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), selain MAHB melalui fungsi operasi serta Keselamatan Penerbangan (AVSEC).

 

MAHB berkata, AVSEC akan terus melaksanakan tanggungjawab melindungi operasi penerbangan awam daripada tindakan campur tangan yang menyalahi undang-undang atau ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan dan pengangkutan udara, termasuk risiko penumpang membawa senjata api ke dalam pesawat.

 

MAHB_DagangNews2026

 

Syarikat berkenaan turut mengalu-alukan persetujuan untuk membenarkan semula pemeriksaan fizikal bersasar sekiranya diperlukan berdasarkan penilaian risiko, yang dilihat mampu menjadi langkah pencegahan tambahan selain penggunaan pengesan logam mudah alih.

 

"Pada masa sama, MAHB menyambut baik penempatan unit anjing pengesan (K9) oleh PDRM dan JKDM sebagai langkah pelengkap kepada peranan keselamatan penerbangan yang sedia dilaksanakan AVSEC," katanya.

 

Dalam usaha meningkatkan lagi tahap keselamatan, MAHB berkata pihaknya turut memperkukuh langkah sedia ada menerusi penempatan peralatan saringan yang dipertingkatkan di KLIA serta lapangan terbang lain.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata pendekatan bersepadu itu menangani cabaran lama dalam pengurusan keselamatan lapangan terbang, khususnya apabila sesuatu isu melibatkan bidang kuasa dan tanggungjawab beberapa agensi.

 

Katanya, selama ini aspek keselamatan negara memerlukan pengendali lapangan terbang bertindak terhadap cabaran yang melangkaui mandat terasnya, justeru penyelarasan baharu itu memberikan kejelasan lebih baik mengenai peranan dan tanggungjawab setiap agensi.

 

MAHB menegaskan pihaknya kekal komited bekerjasama dengan kerajaan dan agensi penguatkuasaan bagi melindungi pintu masuk negara, manakala engagement dengan pihak berkuasa berkaitan akan diteruskan bagi memastikan penyelarasan serta sokongan operasi mencukupi untuk melaksanakan langkah keselamatan yang dipertingkatkan itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved