Kabinet lulus 17 langkah perketat kawalan keselamatan KLIA dengan 6 tindakan jadi keutamaan

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 2:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kabinet lulus 17 langkah perketat kawalan keselamatan KLIA dengan 6 tindakan jadi keutamaan Image from: Kabinet lulus 17 langkah perketat kawalan keselamatan KLIA dengan 6 tindakan jadi keutamaan amree20/08/2026 - 14:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal diperketat menerusi 17 langkah baharu, termasuk saringan berasaskan risiko terhadap penumpang dan penerbangan, kawalan akses kakitangan serta peningkatan kehadiran anggota keselamatan susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

 

Kabinet meluluskan kesemua 17 cadangan berkenaan pada 19 Ogos 2026, yang dikemukakan menerusi memorandum bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di KLIA dan pintu masuk antarabangsa negara.

 

Daripada keseluruhan langkah itu, enam dikenal pasti sebagai keutamaan segera, termasuk pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti mempunyai tahap risiko lebih tinggi.

 

Kerajaan turut akan memperketat sistem e-vetting dan kawalan akses terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, operasi lapangan terbang, pengendali darat, pengendali lapangan terbang, vendor serta kontraktor yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.

 

"Langkah berkenaan turut merangkumi peningkatan saringan dadah terhadap kakitangan penerbangan, termasuk pemeriksaan sebelum pengambilan pekerja, secara berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan," kata dua kementerian itu dalam kenyataan bersama.

 

Bagi meningkatkan kehadiran keselamatan yang lebih ketara, lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan. Tambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) juga akan ditempatkan pada setiap syif di Terminal 1 dan Terminal 2.

 

KLIA_DagangNews2026
Foto Bernama

 

Kerajaan turut memperkukuh perkongsian maklumat keselamatan dan risikan menerusi National Immigration Command Centre (NICC) bagi memastikan maklumat berkaitan ancaman dapat disalurkan dan diselaraskan dengan lebih berkesan antara agensi berkaitan.

 

Pada masa sama, Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT akan ditubuhkan serta-merta dan dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha kedua-dua kementerian. Jawatankuasa itu bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan, menyelesaikan isu rentas agensi serta memantau keseluruhan pelan tindakan.

 

"Enam langkah segera itu merupakan sebahagian daripada pelan lebih menyeluruh 17 perkara yang merangkumi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang. Fasa sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus," jelas kenyataan itu.

 

Pelan berkenaan dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan persoalan mengenai integriti kawalan keselamatan negara, termasuk penahanan seorang rakyat Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah serta beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi.

 

KLIA akan menjadi lokasi perintis sebelum langkah berkenaan diperluaskan secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain di seluruh negara berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi. 

 

Kerajaan menegaskan semua langkah akan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan mengikut undang-undang, dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan bagi memelihara keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved