Trafik penumpang antarabangsa Malaysia Airports meningkat 9.3% pada Julai

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 3:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Trafik penumpang antarabangsa Malaysia Airports meningkat 9.3% pada Julai Image from: Trafik penumpang antarabangsa Malaysia Airports meningkat 9.3% pada Julai hamden21/08/2026 - 15:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Trafik penumpang antarabangsa di seluruh operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Malaysia meningkat 9.3% bulan ke bulan kepada 4.5 juta pergerakan pada Julai 2026, disokong musim perjalanan musim panas di Eropah, Timur Tengah dan beberapa bahagian Asia.

 

Malaysia Airports berkata, kesalinghubungan turut terus berkembang sepanjang bulan berkenaan dengan pengenalan dua syarikat penerbangan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

"Secara keseluruhan, rangkaian tempatan Kumpulan mengendalikan 8.0 juta pergerakan penumpang pada Julai, meningkat 4.6% berbanding Jun 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagaimanapun, trafik domestik kekal lebih lemah pada 3.5 juta penumpang, susut 1% bulan ke bulan dan 19.8% tahun ke tahun, apabila syarikat penerbangan terus mengoptimumkan kapasiti susulan perubahan kos operasi dan permintaan pasaran.

 

Ini menyebabkan keseluruhan pergerakan penumpang di lapangan terbang Malaysia susut 11% tahun ke tahun pada Julai.

 

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, operasi Malaysia Airports di Malaysia mengendalikan 59.0 juta penumpang, secara keseluruhannya setara dengan tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam tempoh itu, trafik antarabangsa meningkat 6.1% tahun ke tahun, manakala trafik domestik susut 6.7%.

 

mport2

 

KLIA catat 36.7 juta penumpang setakat Julai

KLIA mengendalikan 5.0 juta penumpang pada Julai, meningkat 6.6% berbanding Jun. Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026, trafik KLIA mencapai 36.7 juta penumpang, meningkat 3.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata trafik antarabangsa terus memberikan imbangan positif kepada kelembapan pergerakan domestik.

 

“Walaupun trafik penumpang akan berubah mengikut pasaran dan tempoh tertentu, tumpuan kami kekal kepada pengukuhan kesalinghubungan dan memastikan lapangan terbang kami bersedia menyokong perubahan permintaan perjalanan,” katanya.

 

Menurutnya, kumpulan itu turut terus menambah baik pengalaman penumpang di seluruh rangkaiannya, selain menambah perkhidmatan syarikat penerbangan baharu bagi menjadikan lapangan terbang lebih mudah dan selesa digunakan.

 

AirBorneo, Riyadh Air tambah kesalinghubungan KLIA

Kesalinghubungan KLIA terus berkembang pada Julai dengan pengenalan AirBorneo dan Riyadh Air.

 

AirBorneo memulakan perkhidmatan terus dua kali sehari dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 20 Julai, diikuti perkhidmatan harian dari Kuching ke Singapura pada 22 Julai.

 

Sementara itu, Riyadh Air melancarkan perkhidmatan terus tiga kali seminggu dari Riyadh ke Kuala Lumpur pada 31 Julai.

 

Malaysia Airports berkata perkhidmatan tambahan itu menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang, selain mengukuhkan rangkaian domestik dan antarabangsa KLIA.

 

Di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR), trafik antarabangsa terus berkembang susulan pengenalan laluan Kota Bharu–Jakarta pada Jun.

 

Pergerakan penumpang antarabangsa di KBR meningkat kepada lebih 6,200 pada Julai, melonjak 54.1% berbanding bulan sebelumnya.

 

maport1
Taman permainan bertemakan kucing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

 

Trafik Kumpulan capai 87.7 juta penumpang bagi 7M2026

Di seluruh rangkaian kumpulan termasuk operasi luar negara, trafik penumpang mencapai 12.8 juta pergerakan pada Julai 2026.

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) merekodkan 4.9 juta penumpang pada Julai, meningkat 14.2% bulan ke bulan dan 9.6% tahun ke tahun.

 

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, kumpulan mengendalikan 87.7 juta penumpang, meningkat 2.1% berbanding tempoh sama 2025.

 

Dalam perkembangan berkaitan pengalaman penumpang, Malaysia Airports turut menyiapkan beberapa penambahbaikan pada Julai termasuk kaunter daftar masuk yang dinaik taraf di Lapangan Terbang Sibu, taman permainan bertemakan kucing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta tambahan kemudahan pengecasan dan taman permainan bertemakan harimau di KLIA Terminal 2.

 

mpor3
Kaunter daftar masuk yang dinaik taraf di Lapangan Terbang Sibu.

 

Tandas di kedua-dua terminal KLIA turut menerima penarafan lima bintang daripada Majlis Perbandaran Sepang.

 

Selain itu, perkhidmatan daftar masuk dan percetakan tag bagasi diperkenalkan di Sama-Sama Hotel KLIA, membolehkan penumpang yang layak melengkapkan sebahagian proses berlepas sebelum ke terminal untuk penghantaran bagasi. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved