johardy07/08/2026 - 15:40 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) susut sebanyak AS$500 juta kepada AS$132.1 bilion setakat 31 Julai 2026 berbanding AS$132.6 bilion pada akhir Jun.
Bank pusat itu berkata, kedudukan rizab berkenaan kekal mencukupi untuk membiayai 4.7 bulan import barangan dan perkhidmatan serta bersamaan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek negara.
Rizab mata wang asing merangkumi bahagian terbesar daripada keseluruhan rizab pada AS$116.8 bilion, diikuti Hak Pengeluaran Khas (SDR) sebanyak AS$6 bilion dan emas AS$5.8 bilion.
Rizab BNM turut merangkumi aset rizab lain sebanyak AS$2.2 bilion dan kedudukan rizab dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$1.3 bilion.
Di bawah kaedah pengukuran liputan import yang digunakan bank pusat sebelum ini, berdasarkan import tertangguh barangan, rizab tersebut mencukupi untuk membiayai 5.6 bulan import.
Kaedah semasa mengambil kira import barangan dan perkhidmatan, sekali gus memberikan ukuran liputan import negara yang lebih luas berbanding kaedah terdahulu yang hanya berdasarkan import tertangguh barangan.
Nisbah hutang luar negeri jangka pendek
BNM berkata, nisbah 0.9 kali itu dikira berdasarkan rizab setakat 31 Julai dan data terkini hutang luar negeri jangka pendek yang tersedia setakat suku pertama 2026.
Mengikut amalan biasa, hutang luar negeri jangka pendek itu dinilai menggunakan kadar pertukaran pada suku pertama.
Hutang luar negeri jangka pendek merujuk kepada pinjaman daripada bukan pemastautin dengan tempoh matang satu tahun atau kurang.
BNM berkata, sebahagian besar hutang berkenaan membabitkan bank pemastautin berkaitan operasi mudah tunai mata wang asing mereka serta syarikat multinasional, termasuk bank asing, yang membuat pinjaman daripada syarikat induk atau ibu pejabat mereka di luar negara.
Menurut bank pusat itu, obligasi berkenaan boleh dipenuhi dalam urusan operasi biasa melalui pegangan aset luaran pihak terbabit dan tidak merupakan tuntutan terhadap rizab antarabangsa BNM. - DagangNews.com






