amree08/09/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept – Hanya berbelanja di lapangan terbang sudah membuka peluang membawa pulang Proton e.MAS 7 Prime, motosikal KTM Duke 390, jongkong emas serta pakej percutian, menerusi kempen Belanja & Menang 2026 yang kembali dengan nilai hadiah keseluruhan RM215,600.
Kempen anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu kini diperluaskan buat pertama kali ke empat lapangan terbang antarabangsa iaitu Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu, selain Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Jelasnya dalam kenyataan, program yang berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember 2026 itu menyasarkan untuk memberi pengalaman membeli-belah dan menjamu selera yang lebih menarik kepada penumpang serta pengunjung di seluruh rangkaian lapangan terbang dikendalikannya.
"Langkah perluasan penyertaan ke lapangan terbang antarabangsa dibuat susulan kejayaan edisi pertama yang merekodkan hampir 1.9 juta transaksi di 14 lapangan terbang domestik, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap kempen berkenaan," kata MAHB lagi.
Tahun ini, operator itu turut bekerjasama dengan Traveloka sebagai rakan strategik, dengan pakej percutian ditawarkan sebagai sebahagian daripada hadiah kempen bagi menghubungkan pengalaman membeli-belah di lapangan terbang dengan peluang menikmati perjalanan dan percutian.
Selain hadiah utama berupa Proton e.MAS 7 Prime, motosikal KTM Duke 390, jongkong emas dan pakej percutian Traveloka, lima pemenang akan dipilih setiap bulan untuk menerima hadiah wang tunai berserta pakej percutian Traveloka sepanjang tempoh kempen.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Hani Ezra Hussin berkata, kejayaan kempen yang diadakan pada tahun lalu membuktikan penawaran komersial lebih relevan dan menarik mampu memberikan nilai tambah kepada pengalaman pengguna di lapangan terbang.
"Perluasan kempen ini ke beberapa lapangan terbang antarabangsa tahun ini, selain Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA, membolehkan lebih ramai penumpang serta pengunjung mengambil bahagian dan menikmati ganjaran yang ditawarkan," jelas beliau.
Tambahnya, inisiatif itu turut selari dengan usaha kumpulan tersebut untuk berusaha mewujudkan pengalaman runcit secara lebih tersendiri dan relevan, dengan penawaran yang mencerminkan corak perjalanan serta trend perbelanjaan pengguna semasa.
Bagi menyertai kempen di lapangan terbang domestik yang mengambil bahagian, pengguna hanya perlu membuat perbelanjaan minimum RM25 menggunakan maksimum dua resit, manakala minimum perbelanjaan bagi lapangan terbang antarabangsa yang terlibat ialah RM50 menggunakan maksimum dua resit.
Penyertaan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR atau mengisi borang penyertaan berserta resit pembelian, menjadikan kempen Belanja & Menang 2026 satu lagi tarikan komersial MAHB dalam meningkatkan pengalaman penumpang dan pengunjung sepanjang musim perjalanan akhir tahun. - DagangNews.com





