Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 tawar hadiah RM60,000, cungkil bakat muda

8 Sep 2026 • 2:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 tawar hadiah RM60,000, cungkil bakat muda

KUALA LUMPUR – Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bakal menjadi pentas baharu buat pemain sepak takraw berusia 16 tahun dan ke bawah mencungkil bakat serta menimba pengalaman bertanding di peringkat lebih kompetitif.

Liga anjuran bersama McDonald’s Malaysia dan Harian Metro itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000 melibatkan tiga zon sebelum kemuncaknya di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur pada November depan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penganjuran liga berkenaan bukan sekadar satu lagi pertandingan sukan, sebaliknya sebahagian usaha memberi ruang kepada anak muda mengembangkan potensi mereka.

Menurutnya, sukan menjadi platform penting dalam membentuk nilai seperti disiplin, kerja berpasukan, keyakinan serta daya tahan dalam kalangan generasi muda.

“Bagi kami, pembangunan golongan muda tidak hanya tertumpu pada peluang pekerjaan dan pendidikan. Mereka juga memerlukan ruang untuk membina keyakinan, disiplin, semangat berpasukan dan menunjukkan kemampuan mereka.

“Melalui liga ini, kami mahu membantu menyediakan satu lagi platform untuk pemain muda memperoleh pengalaman bertanding serta pendedahan yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di McDonald’s Pantai Sentral Park, hari ini.

Liga berkenaan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dengan penganjurannya turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Tambah Azmir, pemilihan sukan sepak takraw dibuat kerana sukan itu cukup dekat dengan masyarakat selain menjadi sebahagian daripada warisan sukan negara yang dimainkan sejak sekian lama di bandar mahupun luar bandar.

Katanya, McDonald’s Malaysia juga mahu menyokong aspirasi pembangunan sepak takraw negara dengan memberi tumpuan kepada bakat di peringkat akar umbi.

“Kejayaan liga ini bukan hanya tentang siapa yang menjadi juara, tetapi juga pengalaman yang membantu setiap pemain menjadi lebih baik.

“Kami mahu memberi pemain muda dan bakat pelapis peluang untuk menguji kemampuan, membina keyakinan serta menunjukkan potensi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Azmir berkata, pihaknya turut bercadang memperluaskan sokongan kepada pasukan sepak takraw yang berada berhampiran rangkaian restoran McDonald’s di seluruh negara.

Menurutnya, antara bentuk bantuan yang sedang dipertimbangkan termasuk penyediaan bola sepak takraw serta kemudahan gelanggang dalam usaha membawa pembangunan sukan berkenaan lebih dekat dengan komuniti.

Liga tersebut akan bermula bagi Zon Selatan/Tengah di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan pada 9 hingga 11 Oktober, diikuti Zon Utara di The Arena of Sport, Sungai Petani, Kedah pada 16 hingga 17 Oktober dan Zon Timur di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu pada 20 hingga 21 November.

Pentas Akhir Kebangsaan pula dijadual berlangsung di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur pada 28 hingga 29 November, manakala Klinik Sepak Takraw akan diadakan di lokasi sama pada 26 November.

Pendaftaran bagi setiap zon akan dibuka sekurang-kurangnya dua minggu sebelum saingan zon berkenaan.

Pautan pendaftaran dan maklumat lanjut akan diumumkan menerusi platform rasmi McDonald’s Malaysia dan Harian Metro. – KOSMO! ONLINE

The post Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 tawar hadiah RM60,000, cungkil bakat muda appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved