Mahkamah benar DKU mulakan prosiding komital terhadap pembesar adat

LocalPolitics
8 Jul 2026 • 5:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mahkamah benar DKU mulakan prosiding komital terhadap pembesar adat
Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan permohonan DKU untuk memulakan prosiding komital atas dakwaan menghina mahkamah terhadap enam plaintif.

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin serta DKU untuk memulakan prosiding komital atas dakwaan menghina mahkamah terhadap enam plaintif yang didakwa melanggar Perintah Injunksi Ad Interim bertarikh 5 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim, Roz Mawar Rozain selepas mendengar permohonan berkenaan dalam prosiding yang berlangsung secara sidang video pada 7 dan 8 Julai.

Mahkamah memutuskan bahawa Raja Norazli selaku defendan pertama dan DKU selaku defendan kedua berjaya mewujudkan kes prima facie bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Datuk Mubarak Dohak, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashid, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah, Dato' Sedia Raja Abdul Rahim Yasin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

Melalui perintah tersebut, plaintif dilarang mengadakan, memanggil, meneruskan atau menghadiri mana-mana mesyuarat DKU termasuk Sidang Khas yang diumumkan pada 5 Jun 2026, selain dihalang daripada menggantung, menyingkir atau mengganggu Setiausaha DKU daripada menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Mereka juga dilarang menubuhkan atau melantik mana-mana jawatankuasa atau individu untuk mengambil alih kuasa dan fungsi Setiausaha DKU, bertindak atau mengeluarkan kenyataan bagi pihak DKU, membuat atau melaksanakan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran, tadbir urus dan hal ehwal DKU, serta mengambil apa-apa tindakan yang mengubah atau mengganggu status quo sebagaimana sebelum 21 Mei 2026.

Dalam penghakiman sama, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan plaintif untuk menangguhkan prosiding komital bagi penghinaan mahkamah.

Mahkamah menetapkan permohonan substantif bagi prosiding komital itu akan didengar pada 28 Julai ini.

Plaintif diwakili peguam Tuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi, Datuk Firoz Hussein, Woo J Enn, Asmawi Ismail dan Emirul Sarifudin Nor Azmi.

Sementara itu, defendan pertama dan defendan kedua diwakili Steven Thiru, Shafrin Halim dan Gurjeevan Singh Sachdev.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved