PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Badan Peguam Malaysia berjaya dalam permohonannya untuk mencabar keputusan Peguam Negara (AG) yang menghentikan kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ia seterusnya membawa kepada perintah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman tersebut.
Faizah yang bersidang bersama Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin mendapati, permohonan badan itu selaku perayu untuk mendapatkan kebenaran bukan sesuatu yang remeh dan tidak berasas.
Semasa membacakan keputusan tersebut, beliau berkata, permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan turut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.
Beliau berkata, cabaran Badan Peguam terhadap kedudukan AG mempunyai isu-isu yang boleh dipertikaikan kedudukan AG dalam menghentikan pendakwaan terhadap Presiden UMNO itu selaku responden kedua.
“Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa. Ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit.
“Sehubungan itu, kami mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak memberikan kebenaran kepada Badan Peguam dan memerintahkan kes dikembalikan ke sana bagi pendengaran substantif semakan kehakiman," katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi telah menggunakan piawaian yang terlalu ketat pada peringkat kebenaran dan terlalu jauh dalam memasukkan perkara-perkara yang sepatutnya dikhaskan untuk pendengaran itu.
Panel juga berkata, mahkamah berpuas hati bahawa cabaran yang dicadangkan oleh perayu terhadap keputusan AG adalah boleh dipertikaikan.
Katanya, ia bergantung pada alasan undang-undang awam yang diiktiraf dan disokong oleh objektif yang sedia ada di Mahkamah Tinggi.
Susulan itu beliau berkata, permohonan perayu mendapatkan kebenaran sepatutnya diberikan.
“Secara ringkasnya, kami ingin mengulangi penemuan iaitu pertama, Perintah 53 tidak menetapkan ambang kebenaran yang berbeza kerana menetapkan satu ujian untuk kebenaran.
“Kedua, ujian itu sama ada permohonan semakan kehakiman mendedahkan kes yang boleh dipertikaikan.
“Ketiga, jika permohonan semakan kehakiman berkaitan dengan pelaksanaan budi bicara pendakwaan di bawah Perkara 145 (3), ujian kebenaran tunggal di bawah Perintah 53 mesti digunakan dengan khusus,” katanya.
Selain itu beliau berkata, Pengerusi BN terbabit telah dipanggil membela diri manakala di pertengahan prosiding, seramai 15 saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.
Katanya, ia tidak termasuk 99 saksi pendakwaan hadir ke mahkamah di sepanjang 53 hari perbicaraan di peringkat pendakwaan berlangsung.
Dalam pada itu, Faizah menolak hujahan bahawa, Badan Peguam secara tidak langsung mencabar perintah untuk DNAA Mahkamah Tinggi, sebaliknya badan itu mencabar keputusan awal AG menghentikan pendakwaan.
“Oleh kerana perintah DNAA oleh mahkamah itu adalah kesan prosedural daripada keputusan Peguam Negara, perayu tidak mencabar perintah Mahkamah Tinggi yang memberikan DNAA tersebut.
“Perkara yang dicabar ialah punca tindakan eksekutif kepada perintah itu, iaitu keputusan Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid,” katanya.
Sebelum ini, peguam, Datuk S Ambiga yang mewakili badan itu menghujahkan bahawa, keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk berusia 73 tahun itu telah diambil, sedangkan kes prima facie berjaya dibuktikan terhadapnya.
Menurutnya, keputusan untuk menghentikan pendakwaan juga dicapai selepas Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, cara dan justifikasi yang diambil oleh AG ketika memohon DNAA tidak menggalakkan ketelusan, melindungi orang ramai mahupun mengekalkan integriti institusi awam.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan DNAA bersandarkan kepada asas penyiasatan lanjutan, tanpa bukti penyiasatan diteruskan lebih daripada satu setengah tahun atau dikemas kini.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly berkata, keputusan DNAA pada 2023 itu, tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang.
Beliau berkata, keputusan Pendakwa Raya untuk memberikan DNAA dibuat dalam lingkungan kuasa dan bidang kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, kes itu dihentikan berikutan wujud isu baharu serta bukti yang memerlukan siasatan lanjut secara terperinci dan menyeluruh.
Pada 24 Januari 2022 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi semua 47 pertuduhan lalu mengarahkan Ahmad Zahid membela diri.
Bagaimanapun, pada 4 September 2023, Collin memberi perintah DNAA kepada pemimpin UMNO itu selepas pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kerana berhasrat menyiasat kes berkenaan dengan lebih mendalam.
Pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi supaya keputusan itu dibatalkan, dengan menamakan AG dan Ahmad Zahid sebagai responden pertama dan kedua.
Bagaimanapun, pada 27 Jun 2024, Hakim, Datuk Amarjeet Singh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan badan itu, mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.
Beliau mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.
Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara berkaitan kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan mahkamah tertinggi itu.






