Mahkamah Hak Asasi Eropah Gantung Peguam Romania Dua Tahun Guna Hujah Dijana AI

WorldTechnology
19 Nov 2026 • 9:25 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: Mahkamah Hak Asasi Eropah Gantung Peguam Romania Dua Tahun Guna Hujah Dijana AI

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) telah mengharamkan seorang peguam dari Romania daripada mewakili atau membantu mana-mana pihak yang bertikai di mahkamah tersebut selama dua tahun selepas beliau mengemukakan petikan kes undang-undang yang dijana kecerdasan buatan (AI) tanpa pengesahan, menurut pejabat pendaftaran mahkamah pada Rabu.

Presiden mahkamah berkenaan meluluskan perintah larangan itu pada 13 November lalu selepas sebuah dewan mahkamah mendapati hujahan peguam terbabit memetik kes-kes yang tidak wujud serta perenggan rekaan yang kononnya diambil daripada keputusan mahkamah yang tulen.

Menurut kenyataan itu lagi, sebahagian daripada keputusan kes yang dipetik peguam berkenaan didapati langsung tidak relevan atau secara terang-terangan bercanggah dengan hujah yang sepatutnya disokong.

Peguam tersebut mengakui menggunakan peralatan AI bagi mendraf dokumen penghujahan berkenaan dan menyifatkan kesilapan terbabit sebagai sekadar “ketidaktepatan” serta “kesilapan petikan”.

Bagaimanapun, dewan mahkamah mendapati wujud “corak kesilapan substantif yang banyak dan berulang”, sekali gus menyimpulkan bahawa beliau telah gagal melaksanakan tanggungjawab profesional serta etika guamannya.

Dewan berkenaan menegaskan bahawa peguam terbabit sepatutnya menyemak terlebih dahulu rujukan dan hujahan yang dijana oleh AI berpandukan sumber yang berwibawa, termasuk pangkalan data HUDOC milik mahkamah itu sendiri, sebelum memfailkan dokumen.

Siasatan mahkamah turut mendapati bahawa bagi beberapa rujukan yang dikemukakan, “tiada sebarang semakan langsung telah dijalankan”.

Dewan itu turut menyatakan bahawa kecuaian berkenaan telah menjejaskan kelancaran pentadbiran keadilan apabila memaksa pihak mahkamah meluangkan masa yang panjang semata-mata untuk mengesahkan kesahihan penghujahan serta mengendalikan prosiding pengecualian tersebut.

Sumber: Agensi Anadolu (AA)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved