sarah19/11/2026 - 14:47 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - Zetrix AI Berhad hanya akan membayar dividen tertunggak berjumlah RM2.06 juta kepada Macquarie Bank Limited dari Australia sekiranya mahkamah mengiktiraf hak bank itu untuk menerima pembayaran berkenaan sebagai pemilik benefisial saham syarikat tersebut.
Dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia bertarikh 18 November 2026, syarikat teknologi itu menjelaskan bahawa tuntutan Macquarie Bank melibatkan pembayaran dividen tunai sebanyak RM2,061,177.07 berdasarkan kadar 2.89 sen sesaham bagi 71,321,006 saham biasa Zetrix AI.
Menurut Zetrix AI, pembayaran dividen tidak dibuat kerana dividen dibayar kepada pemegang saham berdaftar, sedangkan Macquarie Bank tidak disenaraikan sebagai pemegang saham berdaftar dalam Daftar Pendeposit syarikat.
Pertikaian itu berpunca daripada pelan pelaburan semula dividen bertarikh 26 Ogos 2026 apabila Macquarie Bank, yang mendakwa memiliki kepentingan benefisial dalam saham berkenaan melalui Citigroup Nominees (Asing) Sdn Bhd, memilih untuk menerima dividen secara tunai dan bukannya melaburkannya semula dalam saham baharu.
Notis tuntutan dikeluarkan pada 27 Oktober
Zetrix AI memaklumkan bahawa notis tuntutan berkanun daripada Macquarie Bank bertarikh 27 Oktober 2026 telah diserahkan kepada syarikat itu pada 28 Oktober, sebelum permohonan injunksi sementara difailkan pada 10 November 2026.
Notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016 yang memberikan tempoh 21 hari kepada syarikat untuk menjelaskan jumlah dituntut, dengan kegagalan berbuat demikian boleh menjadi asas kepada permohonan penggulungan syarikat.
Bagaimanapun, Zetrix AI menegaskan bahawa notis tuntutan itu tidak memberikan sebarang kesan terhadap kedudukan kewangan atau operasi syarikat, manakala jumlah liabiliti berpotensi yang dikenal pasti ialah RM2.06 juta.
Pendengaran mahkamah ditetapkan pada 1 Disember
Pada 17 November lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi sementara yang menghalang Macquarie Bank daripada menyerahkan petisyen penggulungan terhadap Zetrix AI sementara menunggu pendengaran antara kedua-dua pihak pada 1 Disember 2026.
Sebelum ini, DagangNews.com melaporkan bahawa pertikaian tersebut merupakan sebahagian daripada isu pembayaran dividen tertunggak Zetrix AI, dengan syarikat itu turut memaklumkan kepada Bursa Malaysia mengenai dividen akhir berjumlah RM49.76 juta yang melibatkan 25 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS).
Bursa Malaysia juga telah mengarahkan Zetrix AI menjelaskan dividen tunai tertunggak selewat-lewatnya pada 23 November 2026, sementara pertikaian mengenai hak Macquarie Bank untuk menerima pembayaran RM2.06 juta itu masih menunggu keputusan mahkamah. - DagangNews.com





