hamden10/08/2026 - 14:48 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Wong Shee Kai atau Ricky Wong, Teh Sew Wan dan Wong SK Holdings Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan perintah injunksi inter partes kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Perintah berkenaan membekukan aset dan harta milik ketiga-tiga perayu bernilai sehingga RM169.2 juta, sementara menunggu keputusan saman sivil yang difailkan SC.
SC dalam kenyataan berkata, pada 28 April 2022, Mahkamah Tinggi memberikan perintah injunksi itu yang turut melarang mana-mana pihak daripada dengan sengaja membantu atau membenarkan sebarang urus niaga melibatkan aset dan harta perayu.
Saman SC yang difailkan pada 2020 berkaitan dakwaan pelanggaran penipuan sekuriti di bawah Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) melibatkan Bright Packaging Industry Berhad.
Perbicaraan kes berkenaan masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dijadualkan bersambung pada 1 September 2026.
Sementara itu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang iaitu Datuk Ravinthran a/l N. Paramaguru, Dato’ Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Leonard David Shim turut menolak permohonan perayu untuk mengetepikan perintah injunksi ex parte yang diberikan Mahkamah Tinggi pada 8 Mei 2020.
Selain itu, ketiga-tiga perayu diperintahkan membayar RM200,000 kos kepada SC.
SC diwakili Mohd Hafiz Mohd Yusoff dan Loo Kit Ming Keith, bersama peguam luar yang dilantik, Dato’ Lim Chee Wee dan Kwan Will Sen dari Tetuan Lim Chee Wee Partnership.
Ricky Wong dan WSK Holdings Sdn Bhd pula diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari Tetuan Shafee & Co, manakala Teh diwakili Tan Sri Dato’ Cecil W. M. Abraham dari Tetuan Cecil Abraham & Partners.

Ricky Wong masih dikehendaki
Dalam perkembangan berkaitan, SC berkata Ricky Wong, yang masih belum ditahan, turut dikehendaki bagi menghadapi pertuduhan jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta CMSA.
SC meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ricky Wong supaya menghubungi 012-6102593 atau 012-6114657, atau melalui e-mel aduan@seccom.com.my.
Ricky Wong, yang dikenali sebagai Wong Shee Kai @ Ricky Wong, mempunyai nombor kad pengenalan 811212-14-5957.
Alamat perniagaan atau pekerjaan terakhir yang diketahui ialah Asia Media Group Berhad, No. 35, Tingkat Satu, Jalan Bandar 16, Pusat Bandar Puchong, 47100 Puchong, Selangor, manakala alamat kediaman terakhir yang diketahui ialah No. 5, Jalan Enak 2, Taman Gembira, 58200 Kuala Lumpur. - DagangNews.com






