Mahkamah Rayuan tolak rayuan Ricky Wong, dua lagi, kekal beku aset RM169.22 juta

LocalBusiness & Finance
10 Aug 2026 • 5:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mahkamah Rayuan tolak rayuan Ricky Wong, dua lagi, kekal beku aset RM169.22 juta

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi yang membekukan aset bernilai RM169.22 juta milik ahli perniagaan, Datuk Wong Shee Kai atau dikenali Ricky Wong; ibunya, Teh Sew Wan serta syarikat mereka, Wong SK Holdings Sdn. Bhd.

Keputusan sebulat suara tersebut dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Ravinthran N. Paramaguru bersama dua Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Leonard David Shim.

Ketika menyampaikan keputusan menerusi aplikasi Zoom, Hakim Leonard berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan budi bicaranya dengan betul berdasarkan prinsip undang-undang berkaitan.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah injunksi interim dan inter parte (kedua belah pihak) di bawah Seksyen 360 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Katanya, peruntukan itu membolehkan mahkamah menghalang ketiga-tiga perayu daripada melupus atau menguruskan aset mereka sementara menunggu kes berkenaan diputuskan.

“Mahkamah mendapati terdapat kes prima facie bahawa ketiga-tiga perayu secara bersama dan berasingan melanggar Seksyen 179 CMSA serta memperoleh keuntungan kewangan tidak sah sekurang-kurangnya RM56 juta daripada penipuan berkenaan.

“Justeru, adalah wajar untuk mahkamah memberikan injunksi interim di bawah Seksyen 360(2) CMSA,” katanya.

Hakim Leonard berkata, panel itu turut mendapati Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempunyai asas kes yang kukuh dan terdapat risiko sebenar aset terbabit akan dipindahkan atau dilupuskan oleh ketiga-tiga perayu.

Ujarnya, lebih RM3.5 juta telah digunakan untuk membeli sebuah hartanah mewah di Four Seasons Place, Kuala Lumpur.

Perkara itu menyokong dapatan bahawa terdapat risiko aset tersebut dilupuskan atau dipindahkan keluar dari bidang kuasa mahkamah.

Hakim itu berkata, Sew Wan juga tidak mempertikaikan bahawa beliau menandatangani bersama 71 cek dan baucar pembayaran kepada beberapa penama syarikat.

“Hasil daripada pelaksanaan korporat itu kemudian didakwa disalurkan ke dalam akaun bank Ricky Wong dan Wong SK Holdings.

“Mahkamah mendapati skim penipuan yang didakwa dilakukan terhadap Bright Packaging Industry Bhd. (BPI) melibatkan penggunaan beberapa lapisan entiti korporat, invois palsu serta pemindahan wang kepada syarikat penama yang dikawal Ricky Wong,” katanya.

Panel Mahkamah Rayuan hari ini turut menolak hujah perayu bahawa SC gagal mendedahkan pembatalan perintah pembekuan dan penyitaan terdahulu.

Mahkamah mendapati perkara itu telah didedahkan sepenuhnya menerusi afidavit dan hujahan bertulis SC, manakala perintah pembatalan tersebut turut dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

“Berdasarkan alasan berkenaan, kami sebulat suara mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan budi bicaranya berdasarkan prinsip yang betul dan campur tangan Mahkamah Rayuan tidak diperlukan.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan dan semua rayuan ditolak dengan kos,” katanya.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga perayu membayar kos RM50,000 bagi setiap rayuan, membabitkan empat rayuan dengan jumlah keseluruhan RM200,000.

Dalam prosiding hari ini, Sew Wan diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham, Alex Tan dan Chin Jia Yi, manakala Ricky Wong serta Wong SK Holdings diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

SC pula diwakili Datuk Lim Chee Wee, Kwan Will Sen, Ng Kar Man, Esther Hong dan Manveer Singh. – UTUSAN

The post Mahkamah Rayuan tolak rayuan Ricky Wong, dua lagi, kekal beku aset RM169.22 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved