Hydroshoppe berjaya masukkan semula tiga syarikat dalam saman RM1 bilion Menara KL

LocalBusiness & Finance
10 Aug 2026 • 6:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hydroshoppe berjaya masukkan semula tiga syarikat dalam saman RM1 bilion Menara KL

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan Hydroshoppe Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) untuk memasukkan semula tiga syarikat di dalam saman lebih RM1 bilion berhubung pertikaian konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Tiga syarikat itu ialah LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamidi.

Pada 15 Julai 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan tiga syarikat itu untuk membatalkan saman tersebut.

Ia selepas Hydroshoppe dan MKLSB didakwa gagal mengemukakan fakta material yang mencukupi untuk menyokong tuntutan tersebut.

Pada Mac 2025, Hydroshoppe bersama anak syarikatnya, MKLSB memfailkan saman terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (sekarang Datuk Seri); Kerajaan Malaysia; LSH Service Master; LSH Best Builders dan Service Master.

LSH Service Master adalah syarikat usaha sama antara LSH Best Builder dan Service Master yang dianugerahkan konsesi pengurusan menara tersebut menggantikan Hydroshoppe dan MKLSB.

Pada prosiding sama, panel turut membenarkan rayuan Hydroshoppe dan MKLSB berhubung permohonan pindaan pernyataan tuntutan mereka.

Kata Hakim Azhahari, mahkamah berpendapat Hydroshoppe dan MKLSB selaku perayu memenuhi syarat yang diperlukan untuk membolehkan pindaan berkenaan dibuat.

“Kami tidak bersetuju dengan hujah responden bahawa permohonan pindaan itu merupakan tindakan taktikal untuk menewaskan pembelaan atau permohonan responden.

“Permohonan tersebut juga difailkan pada peringkat awal prosiding. Setelah mempertimbangkan keseluruhan keadaan, kami mendapati tiada kecuaian yang boleh dipersalahkan terhadap perayu,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa sebelum ini Hydroshoppe dilantik oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk mengendalikan menara berkenaan.

Bagaimanapun dakwanya, kerajaan menamatkan perjanjian tersebut secara salah dan memberikan pengurusan itu kepada LSH Service Master pada November 2022.

Susulan itu, mereka memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan perjanjian yang dimeterai dengan kerajaan pada 2022, masih sah dan mengikat selain berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun bermula 31 Disember 2022.

Pada prosiding hari ini, Hydroshoppe dan MKLSB diwakili peguam, Vinayak Sri Ram manakala Fahmi dan kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud.

LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master pula diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar. – UTUSAN

The post Hydroshoppe berjaya masukkan semula tiga syarikat dalam saman RM1 bilion Menara KL appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved