Laporan kimia kes tentera didakwa bunuh pempengaruh diserah 13 Oktober

11 Sep 2026 • 3:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Laporan kimia kes tentera didakwa bunuh pempengaruh diserah 13 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 13 Oktober bagi serahan laporan kimia bagi kes seorang pegawai tentera yang didakwa membunuh pempengaruh warga Bangladesh dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), April lalu.

Majistret Heng Yi Min menetapkan tarikh itu ketika prosiding sebutan semula kes terhadap Kapten Jad Faid Arhan, 31, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri memaklumkan laporan kimia bagi kes berkenaan masih belum tersedia dan memohon tempoh sebulan bagi mendapatkan laporan tersebut.

Peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah yang mewakili Jad Faid tidak membantah permohonan berkenaan.

Pada 1 Mei lalu, Jai Faid didakwa membunuh seorang lelaki warga Bangladesh, Muzahid Millad, 22, di Kilometer 1.9, Lebuh Raya Maju (MEX) dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, di sini, pada pukul 5.30 pagi, 23 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak melebihi 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret (Trafik), pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi serahan dokumen tambahan bagi dua lagi pertuduhan yang dihadapi Jad Faid mengikut Akta Pengangkutan Jalan. 

Majistret Aliaa Anwar kemudian menetapkan tarikh sama iaitu 13 Oktober bagi tujuan tersebut.

Mengikut dua pertuduhan itu, Jad Faid didakwa memandu kereta jenis Ford Fiesta berwarna putih di bawah pengaruh minuman memabukkan sehingga gagal mengawal kenderaan.

Perbuatan itu menyebabkan kecederaan parah kepada pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, dan penumpang wanita, Nafisa Tabassum Adiba, 20, yang juga isteri Muzahid di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Pada 23 April lalu, seorang lelaki warga asing maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dinaikinya dirempuh pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Susulan pelanggaran itu, seorang penumpang e-hailing warga Bangladesh maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isteri mangsa dan pemandu e-hailing cedera parah. –UTUSAN

The post Laporan kimia kes tentera didakwa bunuh pempengaruh diserah 13 Oktober appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved