Mahsia Media dilancar sebagai platform strategik gabungkan media, jenama, pemasaran & teknologi

LocalTechnology
13 Oct 2025 • 2:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahsia Media dilancar sebagai platform strategik gabungkan media, jenama, pemasaran & teknologi

image is not available

13/10/2025 - 14:22

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt – Mahsia Media Group Sdn Bhd, syarikat media dan jenama baharu dilancarkan malam tadi dengan visi menjadi platform strategik yang menggabungkan kepakaran pemasaran, media dan teknologi.

Syarikat tersebut yang diasaskan oleh Datuk Wira (Dr) Calvin Khiu berhasrat menjadi peneraju landskap komunikasi jenama dan media di Malaysia.

Berlandaskan falsafah “teknologi mendekatkan hubungan, kandungan cerita membina kepercayaan,” Mahsia Media komited membantu jenama dan perniagaan tampil menyerlah, diingati serta diyakini dalam era komunikasi pantas dan mencabar hari ini.

Menurut Dr. Calvin Khiu, inspirasi penubuhan Mahsia Media berpunca daripada cabaran yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pasca pandemik, khususnya dari segi pendedahan, kekangan bajet dan kuasa komunikasi yang lemah.

“Setiap jenama mempunyai ceritanya sendiri. Mahsia Media bukan sekadar syarikat media, ia adalah syarikat perunding pemasaran jenama.

“Melaluinya, saya berharap lebih banyak suara dan kisah perjalanan perniagaan dapat dikenali merentas dunia,” katanya.

Mahsia Media memperkenalkan lapan jenama di bawahnya yang akan memacu pertumbuhan komunikasi dan penjenamaan secara menyeluruh, antaranya pengurusan kepercayaan jenama, reka pengalaman pelanggan, pemerkasaan kandungan, penjenamaan peribadi, rangkaian influencer, integrasi pelbagai saluran, pembangunan reputasi serta ekosistem kolaborasi media.

Melalui strategi ini, Mahsia Media berperanan memperkukuh kehadiran jenama melalui pendekatan kreatif dan digital bersepadu yang menekankan hubungan manusiawi serta kepercayaan khalayak.

image is not available

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran lebih 300 tetamu termasuk YM Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi; wakil-wakil media arus perdana, pemimpin korporat dan pempengaruh media sosial.

Acara kemuncak malam berkenaan ialah penampilan eksklusif Miss Tourism International 2025 yang menampilkan 40 delegasi antarabangsa dalam persembahan khas, melambangkan visi Mahsia Media untuk mempromosikan budaya dan pelancongan global melalui kolaborasi media.

Turut disampaikan ialah Anugerah Pengiktirafan Khas “Voice of the Year” bagi menghargai individu yang memberi impak positif dalam penyiaran digital dan komunikasi jenama.

Antara penerima termasuk Loh Wei Hong (HH Boss), Low Tzy Yin (Adik Kecil), Josephine Quay (Jo Mama), Ivan Tan (Chef Ivan), View Chin dan Katherine Susan Lee.

Dr. Calvin Khiu dalam ucapannya turut menegaskan komitmen Mahsia Media untuk menjadi platform pertumbuhan bersama antara syarikat, organisasi media dan komuniti kreatif.

“Matlamat Mahsia Media bukan sekadar menyediakan perkhidmatan iklan dan promosi, tetapi menjadi platform pembangunan ekosistem media yang memberi nilai berkekalan dan saling menguntungkan,” katanya. - DagangNews.com

standard