MMU, MCMC & GSMA lancar kohort ke-2 CTPR Masterclass 2025

10/10/2025 - 15:13
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 10 Okt – Multimedia University (MMU), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Persatuan GSM (GSMA) melancarkan kohort kedua Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Master Class sempena ulang tahun ke-10 program itu hari ini.
Kelas yang berlangsung selama lima hari itu menghimpunkan pembuat polisi, pengawal selia, dan pemimpin industri dari seluruh ASEAN dan antarabangsa, dengan tema “Kepintaran Bersambung: Membentuk Masa Depan 5G, AI, Keselamatan dan Kelestarian”.
Program itu bertujuan melahirkan pemimpin yang berwawasan dalam memperkukuh kepimpinan dan inovasi polisi dalam ekosistem digital dan telekomunikasi.
Sejak ditubuhkan pada 2015, kelas CTPR itu telah melatih lebih 300 profesional dari kementerian dan badan pengawal selia.
Delegasi antarabangsa daripada Telecommunication Regulator of Cambodia (TRC) dan Communications Regulatory Commission of Mongolia turut menyertai program tersebut yang membuktikan kepentingannya di peringkat global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, kelas tersebut menjadi platform dinamik untuk pertukaran idea dan kepimpinan global.
“Program itu mengumpulkan idea, kepakaran dan aspirasi untuk membentuk masa depan tadbir urus telekomunikasi. Menjelang dekad seterusnya, misi kami kekal untuk membangunkan pemimpin yang aktif dan berwawasan untuk era digital,” katanya.
MCMC pula menekankan kepentingan pembangunan kepimpinan berterusan bagi memastikan polisi sentiasa relevan dengan transformasi digital.
Dalam pada itu, Ketua Asia Pasifik, Pembangunan Kapasiti GSMA, Niall Magennis berkata, impak jangka panjang program itu sangat penting untuk transformasi di peringkat serantau.
“Dalam tempoh 10 tahun, kelas CTPR menjadi tonggak pembangunan kepimpinan di Asia-Pasifik, memperkasakan profesional untuk merangka polisi berpandangan jauh dan memajukan pertumbuhan digital yang inklusif,” katanya.
Dengan memasuki dekad baharu, MMU, MCMC dan GSMA menegaskan komitmen mereka untuk memupuk kepimpinan telekomunikasi, memperkukuh kerjasama serantau, dan memajukan masa depan digital yang inklusif, lestari dan mampan. - DagangNews.com
standard


