
Mahzan dilantik Ketua Pengarah Mara baharu
PETALING JAYA – Ir. Dr. Mahzan Teh dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, menggantikan Datuk Seri Zulkifli Osman yang bersara daripada jawatan berkenaan.
Pelantikan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengalaman luas Mahzan bersama Mara serta kepakaran dimiliki diyakini mampu memperkukuh peranan agensi berkenaan dalam pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan Bumiputera.
“Selamat memikul amanah baharu sebagai peneraju keluarga besar Mara. Insya-Allah dengan semangat dan komitmen bersama, kita akan terus memperkasakan mandat Mara, memperluas manfaat kepada rakyat serta meneruskan agenda transformasi yang sedang digerakkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelantikan tersebut diharap dapat memastikan Mara kekal relevan dan dinamik dalam memacu pembangunan ekonomi serta pendidikan Bumiputera.
Asyraf Wajdi turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Mahzan serta berharap beliau dapat meneruskan Agenda Transformasi Mara. – KOSMO! ONLINE
The post Mahzan dilantik Ketua Pengarah Mara baharu appeared first on Kosmo Online.






