liza25/09/2026 - 17:26 Ir Dr Mahzan Teh Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Majlis Amanah Rakyat melantik Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Ir Dr Mahzan Teh sebagai Ketua Pengarah yang baharu menggantikan Datuk Seri Zulfikri Osman dalam menerajui agensi berkenaan.
Pelantikan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan), beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA dari 2016 hingga 2020.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengalaman luas dilihat menjadi antara kekuatan Mahzan untuk meneruskan agenda transformasi agensi berkenaan, khususnya dalam memperkukuh peranannya dalam pendidikan, TVET dan keusahawanan Bumiputera.
“Saya yakin pengalaman beliau yang panjang bersama MARA serta kepakaran yang dimiliki akan menjadi kekuatan untuk meneruskan Agenda Transformasi MARA dan memperkukuh peranan MARA.
“Selamat memikul amanah baharu sebagai peneraju keluarga besar MARA. InsyaAllah dengan semangat dan komitmen bersama, kita akan terus memperkasakan mandat MARA, memperluas manfaat kepada rakyat serta meneruskan agenda transformasi yang sedang digerakkan agar MARA kekal relevan, dinamik dan terus memacu pembangunan ekonomi dan pendidikan bumiputera,” katanya.

Terdahulu, Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada Zulfikri atas segala jasa, keringat dan sumbangan yang telah dicurahkan kepada MARA sepanjang 36 tahun perkhidmatan.
“Ia satu tempoh yang begitu panjang, penuh dengan pengalaman, pengorbanan dan dedikasi dalam memperkukuh institusi serta agenda pembangunan Bumiputera.
“Sepanjang saya menggalas amanah sebagai Pengerusi MARA, saya menjadi saksi bahawa beliau merupakan seorang tokoh yang amat komited, berintegriti dan sentiasa meletakkan kepentingan MARA serta agenda pembangunan Bumiputera sebagai keutamaan.
“Banyak pencapaian telah dikecapi dan pelbagai transformasi telah dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau. Terima kasih atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan buat MARA,” katanya. - DagangNews.com






