
KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) menyumbangkan RM20,000 untuk diagih kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond di Tawau, Sabah baru-baru ini.
MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan itu diserahkan oleh Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MaipsTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada rakan strategiknya iaitu Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah semalam untuk disampaikan kepada mangsa kebakaran.
“Turut disampaikan sumbangan derma kilat yang dikutip oleh para peserta Program Eks PerBah (Eksesais Kerajaan Perlis ke Sabah) berjumlah RM4,500 yang diwakili Pengarah Urusan Kasyaf Bina Sdn Bhd Datuk Zamri Mohamad,” menurut kenyataan itu.
Simbolik penyerahan itu disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra di Lapangan Terbang Tawau sebelum berangkat pulang ke Semenanjung.
SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more Pada 6 Mac lepas, kira-kira 45 rumah yang dibina di atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond pada kira-kira 2.30 petang.
Menerusi kenyataan sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa kebakaran di kawasan Projek Transfomasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis pada petang Jumaat lepas.
Sementara itu, kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh Istana Arau memaklumkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat meninjau Kampung Seberang Alor yang merupakan sebahagian dari kawasan projek itu semalam.
Menurut kenyataan itu, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga terbabit dan mengingatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada dengan kes kebakaran yang boleh membawa bahaya serta kemudaratan nyawa selain harta benda.
“Titah Tuanku Raja, bencana kebakaran boleh berlaku atas pelbagai sebab. Akan tetapi yang kerap adalah berpunca daripada kegagalan peralatan elektrik dan juga penyambungan tenaga elektrik berlebihan selain akibat daripada kelalaian pembakaran sama ada di dapur atau di kawasan terbuka,” katanya.
Pada 15 Mac lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun melecur di bahagian belakang badan, tangan kiri dan kedua-dua kaki akibat kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Seberang Alor.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis Penguasa Bomba Norazwan Hashim berkata kanak-kanak itu, yang melecur pada tahap 30 hingga 40 peratus, kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini.

