MAIS agih RM9.5 juta fidyah wang saku, manfaat 19,000 pelajar asnaf

20 Aug 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MAIS agih RM9.5 juta fidyah wang saku, manfaat 19,000 pelajar asnaf

KLANG, 20 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan RM9.5 juta menerusi program fidyah wang saku bagi membantu 19,000 pelajar dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan miskin sementara di seluruh Selangor.

Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata daripada jumlah itu, RM3 juta disalurkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) untuk manfaat 6,000 pelajar.

Menurutnya, RM4 juta pula diagihkan melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu 8,000 pelajar, manakala baki RM2.5 juta diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang layak.

“Sekurang-kurangnya dapatlah membantu daripada segi makan minum harian mereka supaya pelajar ini dapat melangkah ke sekolah dengan lebih yakin dan juga akan menumpukan perhatian kepada pembelajaran,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di sini, hari ini.

Image from: MAIS agih RM9.5 juta fidyah wang saku, manfaat 19,000 pelajar asnaf
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS (Wang Saku Pelajar) di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Klang pada 20 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Mohd Sabirin, program tahunan itu turut bertujuan memberi gambaran kepada masyarakat mengenai penyaluran wang fidyah yang ditunaikan melalui MAIS kepada golongan yang memerlukan.

“Selain daripada bantuan wang saku kepada pelajar, bantuan fidyah ini juga disalurkan kepada bantuan lain seperti bakul makanan fidyah yang disalurkan kepada mereka yang terlibat dalam bencana seperti banjir, kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Setiap pelajar yang layak menerima kupon wang saku bernilai RM500 secara sekali sahaja yang boleh digunakan di kantin sekolah ditetapkan bagi pembelian makanan dan minuman bernilai RM5 sehari.

Pada 2025, MAIS mengagihkan RM4.68 juta melalui fidyah wang saku pelajar kepada 15,613 pelajar di seluruh Selangor.

Selain bantuan wang saku, sumber fidyah turut dimanfaatkan menerusi Dapur Fidyah yang menyediakan bekalan makanan harian kepada golongan layak serta bantuan kepada mangsa bencana.

Program tahun itu dilaksanakan dengan kerjasama JPNS, JAIS dan institusi pengajian tinggi bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang memenuhi syarat sebagai penerima fidyah.

Image from: MAIS agih RM9.5 juta fidyah wang saku, manfaat 19,000 pelajar asnaf
Pelajar menikmati makan tengah hari dengan menggunakan kupon makanan sempena Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS (Wang Saku Pelajar) di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Klang pada 20 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved