
KANGAR, 14 Julai 2026 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek ESR Dragway Perlis antara Menteri Besar Incorporation (MBI) Perlis dan ESR Motorsport Perlis Sdn. Bhd. telah berlangsung pada 14 Julai lalu.
Dalam majlis tersebut, MBI Perlis diwakili oleh YAB Tuan Abu Bakar Hamzah, Menteri Besar Perlis, manakala YBrs. Encik Adib Affandi Mohamad mewakili ESR Motorsport Perlis Sdn. Bhd.
Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Pejabat Menteri Besar Perlis, pembangunan ESR Dragway Perlis merupakan satu inisiatif strategik yang bertujuan menyediakan kemudahan khusus kepada golongan belia serta peminat sukan permotoran bagi menyalurkan minat mereka secara sah, selamat dan profesional.
Inisiatif tersebut turut diharapkan dapat membantu membendung gejala lumba haram dengan menyediakan platform yang terkawal serta memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Projek ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis menerusi MBI Perlis. Pelaksanaannya akan direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama syarikat bumiputera tempatan, ESR Motorsport Perlis Sdn. Bhd., sebagai usaha memperkukuh pembangunan industri permotoran, melahirkan bakat baharu serta merancakkan pembangunan ekonomi dan pelancongan sukan di negeri Perlis.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, YBrs. Encik Rusdi Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Setiausaha-setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta wakil-wakil daripada ESR Motorsport Perlis Sdn. Bhd.














The post Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek ESR Dragway Perlis Berlangsung di Perlis appeared first on TW Media.






