KUALA LUMPUR - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah mengadakan Majlis Peluncuran Kolaborasi Strategik Jabatan Muzium Malaysia x Thong Empire: “Warisan Dalam Perpaduan Pada Setiap Suapan hari ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara di Galeri 1, Jabatan Muzium Malaysia.
Bertemakan Perpaduan Dalam Perpaduan Pada Setiap Suapan, kolaborasi melalui Muzium Tekstil Negara dan Muzium Negara serta Thong Bowl dan Thong Cha Plus ini mengangkat produk warisan berupa pin koleksi dan syiling emas edisi terhad dalam satu interpretasi baharu terhadap koleksi Muzium Tekstil Negara dan Muzium Negara. Diinspirasikan dari koleksi muzium yang membawa naratif sejarah dan budaya bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Pin koleksi menampilkan enam (6) motif tekstil tradisional iaitu Motif Pucuk Rebung, Burung Phoenix, Burung Merak, Kuda, Nabau (Ular) dan Bunga Raya. Manakala syiling emas edisi terhad merupakan syiling yang meraikan kisah Malaysia. Menggunakan wajah Bapa Kemerdekaan Negara, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai simbol Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, tradisi dan masyarakat berbilang bangsa. Syiling ini mengangkat nilai sejarah, warisan dan perpaduan sebagai nilai yang mengikat kita sebagai sebuah bangsa.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan berkata, “Kolaborasi ini juga mencerminkan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society yang menjadi amalan kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan awam.” Tambahnya lagi, “agenda perpaduan tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa penyertaan sektor swasta sebagai rakan strategik kerajaan.”
Kolaborasi ini akan berlangsung bermula 3 Ogos 2026 sehingga 27 September 2026 yang dibahagikan kepada dua (2) fasa. Fasa pertama melibatkan Muzium Tekstil Negara sempena Bulan Kebangsaan dan fasa kedua melibatkan Muzium Negara sempena Hari Malaysia.






