Majlis perkahwinan merupakan satu sambutan yang meraikan pasangan raja sehari ketika mereka melangkah ke fasa kehidupan baharu.
Dalam sesebuah majlis perkahwinan, pastinya akan ada satu kisah yang membuatkan pengantin atau tetamu yang hadir tidak dapat melupakan momen tersebut. Sama ada momen sedih atau gembira, semuanya akan terpahat dalam ingatan mereka.
Namun, kisah tular yang dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial menerusi ruangan komen di TikTok thekhulafastudio telah menarik perhatian ramai. Tiada siapa menyangka, majlis akad nikah yang sepatutnya berlangsung dengan lancar pada hari kejadian bertukar tragedi hanya kerana satu kesilapan lafaz yang membawa kepada pembatalan majlis.
Share la wedding story korang camne pulak, nak dengar story korang semuaaa hehee #crazystory #wedding #fyp
Menurut perkongsian Chachamaru, pada hari kejadian, pengantin lelaki tersalah menyebut nama bekas kekasih semasa melafazkan akad nikah. Lebih mengejutkan, pengantin perempuan kelihatan sangat tenang. Dia kemudiannya bangun dari pelamin dan berjalan menuju ke arah pengantin lelaki.
“Yang mengejutkan, dia kelihatan sangat tenang. Dia bangun dari pelamin dan berjalan menuju ke arah pengantin lelaki. Dia meminta agar diberikan sedikit masa rehat supaya mereka dapat berbincang secara peribadi,” katanya.
Perkahwinan dibatalkan
Keadaan kemudiannya bertukar kecoh apabila pengantin perempuan dikatakan membuat pengumuman bahawa perkahwinan mereka dibatalkan. Keputusan tersebut tidak dipersetujui oleh kedua-dua belah keluarga.
“Majlis perkahwinan itu terpaksa dihentikan selama kira-kira satu jam untuk mereka berbincang. Namun, akhirnya perkahwinan tersebut dibatalkan. Pengantin perempuan sendiri berjalan ke mikrofon dan membuat pengumuman itu. Keadaan menjadi kecoh selepas itu.
“Kedua-dua belah keluarga tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Mereka mengatakan ia hanyalah satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan. Pengantin lelaki pula menangis teresak-esak dan memohon maaf berkali-kali. Namun, pengantin perempuan tetap dengan keputusannya untuk membatalkan perkahwinan itu,” kongsinya.
Elak konflik kedua pihak
Pengantin lelaki menganggap keputusan itu tidak adil baginya. Namun bagi pengantin perempuan, kesilapan tersebut sudah cukup membuktikan bahawa dia tidak pernah benar-benar wujud dalam fikiran lelaki itu sejak awal lagi.
“Katanya, jika pada hari pernikahan pun lelaki itu masih teringatkan kisah lamanya, itu sudah cukup membuktikan bahawa dia (pengantin perempuan) sebenarnya tidak pernah ada dalam fikiran lelaki itu sejak awal lagi.
“Pengantin lelaki mengatakan bahawa keputusan itu tidak adil, tetapi pengantin perempuan membalas bahawa apa yang dilakukan lelaki itu semasa akad nikah jauh lebih tidak adil dan telah memalukannya serta keluarganya.
“Jadi, dia memilih untuk menghentikan majlis perkahwinan tersebut bagi mengelakkan lebih banyak konflik antara kedua-dua belah pihak,” katanya.
The post Majlis pernikahan batal, pengantin lelaki tersasul sebut nama bekas kekasih appeared first on The Reporter.




