Wanita 87 tahun diusir dari rumah sewa meninggal dunia

8 Oct 2026 • 8:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita  87 tahun diusir dari rumah sewa meninggal dunia

MADRID: Seorang pesara warga emas yang kes pengusirannya dari rumah sewa menjadi simbol krisis perumahan di Sepanyol dan mencetuskan siri gelombang protes di seluruh negara dilaporkan telah meninggal dunia semalam.

Maricarmen Abascal, 87, diusir keluar dari apartment kediamannya di Madrid yang telah dihuni selama lebih 70 tahun selepas gagal menampung kenaikan kadar sewa yang mendadak.

Insiden menyayat hati yang menyaksikan wanita warga emas tidak bermaya itu diusung keluar dari kediamannya menggunakan pengusung pada September lalu telah mengundang kemarahan awam dan mencetuskan pertikaian politik peringkat nasional.

Menurut Kesatuan Penyewa Madrid, belaiu telah dikejarkan ke hospital sejurus tindakan pengusiran yang diperintahkan oleh mahkamah itu dilaksanakan, sebelum disahkan meninggal dunia.

“Dengan rasa sedih kami memaklumkan bahawa Maricarmen (Abascal) telah meninggal dunia,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa kes mendiang menjadi titik perubahan sejarah negara.

Kes mendiang yang menjadi simbol krisis kebolehmampuan memiliki dan menyewa kediaman di Sepanyol turut menyemarakkan desakan pelbagai pihak agar perlindungan undang-undang yang lebih ketat diberikan kepada golongan penyewa.

Perkembangan itu berlaku ketika Perdana Menteri Sepanyol daripada parti Sosialis, Pedro Sanchez bertindak membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya tergempar selepas pentadbiran beliau mengalami kekalahan teruk dalam kelulusan rang undang-undang langkah kecemasan perumahan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, puluhan ribu rakyat Sepanyol turun ke jalanan bagi menuntut tindakan tegas kerajaan berhubung isu peningkatan kos sewa, dengan kemarahan awam semakin memuncak berikutan liputan meluas kes pengusiran Abascal dari kediaman lamanya.

Bagaimanapun, cadangan reformasi perumahan yang dikemukakan kemudiannya ditolak oleh parlimen, sekali gus mencetuskan semula siri demonstrasi baharu di seluruh negara. – AGENSI

The post Wanita 87 tahun diusir dari rumah sewa meninggal dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved