Makmal dadah RM2.4 bilion di Puncak Alam terbongkar

9 Sep 2026 • 12:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Makmal dadah RM2.4 bilion di Puncak Alam terbongkar

KUALA SELANGOR – Markas makmal dadah milik sindiket yang diketuai seorang lelaki ditembak mati di Garden Homes, Seremban 2, akhirnya terbongkar menerusi Op Eumenes di sebuah kawasan perindustrian Bandar Puncak Alam, di sini, bulan lalu.

Premis yang disewa dengan kadar sehingga RM10,000 sebulan sejak Februari lalu itu dipercayai dijadikan tempat menyimpan dan memproses pelbagai jenis dadah bernilai RM2.4 bilion, sekali gus menjadi rampasan terbesar tahun ini.

Turut disita lima kenderaan termasuk Toyota Vellfire bernilai RM276,000.

Menerusi enam siri serbuan Op Eumenes, polis menahan lima suspek termasuk dua warga asing berusia antara 29 hingga 43 tahun di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati makmal dadah tersebut didalangi lelaki berusia 52 tahun yang ditembak mati di Seremban 2 pada 6 September lalu.

Katanya, suspek berkenaan bertindak mengatur penyewaan premis, merekrut anggota sindiket serta membawa masuk peralatan yang dipercayai dari China.

“Kesemua bahan itu dibawa masuk dengan diisytiharkan sebagai alat pemprosesan menggunakan kargo yang dipercayai melalui Pelabuhan Klang. Malah, seorang yang direkrut adalah pakar kimia warga Taiwan dalam penghasilan dadah,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, warga Taiwan itu juga telah memasuki negara ini sebanyak empat kali dalam tempoh setahun dengan menggunakan pas lawatan sosial.

Justeru katanya, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan wujud rangkaian sindiket di Taiwan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

“Sindiket yang aktif sejak awal tahun ini didapati menghasilkan dadah jenis MDMA dalam bentuk cecair serta pil untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Mereka juga menggunakan keldai dadah untuk mengedar bunga ganja dan pil MDMA. Kita tidak menolak kemungkinan dadah itu berkualiti tinggi sehingga mampu menjana pulangan jutaan ringgit setiap bulan,” katanya.

Hussein berkata, berdasarkan serbuan itu, antara dadah yang dirampas adalah cecair dan serbuk MDMA, ganja, pil erimin 5, ketamin, pil yaba, methamphetamine seberat 13.17 tan.

Turut dijumpai adalah kontena di dalam premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi sindiket membawa masuk bahan dan peralatan dari luar negara.

“Masih terdapat beberapa ahli sindiket yang belum ditangkap, termasuk seorang yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya bantuan orang dalam daripada mana-mana agensi lain,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein memberitahu, lima suspek yang ditahan dalam operasi itu telah didakwa dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 21 dan 27 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Makmal dadah RM2.4 bilion di Puncak Alam terbongkar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved