Makna di sebalik kemenangan Tiwikarma

LocalMusic
17 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Makna di sebalik kemenangan Tiwikarma

‘Hujan derita di bawah langit gempita
Mulut dikunci tidak mampu bersuara
Darah daging diratah tempat mereka mulia
Jasad tiada nyawa semadi tiada bertanda…’

Itu sepotong rangkap pertama lirik lagu Tiwikarma yang diangkat sebagai Juara Lagu pada edisi ke-40 Anugerah Juara Lagu (AJL40) malam Sabtu lalu.

Seni kata lirik hasil kerja sepasukan terdiri daripada Zai Hamzah, Kazar, Triplouz A, Sapik Sam, Ayie Floor 88 dan Nana Mya itu sebenarnya awal-awal sudah menang.

Bukan rayuan cinta menagih janji setia, sebaliknya mahakarya doa yang dipersembahkan dalam melodi penuh emosi, marah, pengharapan, dendam dan kebencian terhadap kezaliman sejagat, semua termuat di dalamnya.

Kita biasa dengar perkataan karma yang bermaksud pembalasan. Jadi apa pula tiwikarma. Sebelum popular sebagai judul lagu kumpulan K.O.I, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menggunakan istilah itu dalam satu pengucapan beberapa tahun lalu.

Tiwikarma ada beberapa konteks pengertian. Dalam permainan wayang Jawa, tiwikarma merujuk situasi sesuatu watak menjadi marah lalu kesabaran dan kebijaksanaannya dibakar amarah.

Dalam tradisi wayang purwa, terdapat banyak watak melalui proses tiwikrama antaranya Prabu Wisnu, Prabu Krisna dan Prabu Arjuna.

Dua kali watak Prabu Krisna melakukan tiwikrama. Pertama, sewaktu mencuri Dewi Rukmini dan kedua ketika menuntut semula Negara Hastinapura yang menurutnya menjadi hak kaum Pendawa.
Akibat transformasi, Prabu Krisna boleh merobohkan kraton Hastinapura.

Arjuna pula bertiwikrama bagi menahan air Sungai Gangga untuk membolehkan permaisurinya mandi dan berenang di sungai berkenaan.

Menurut cerita, proses tiwikrama menjadikan watak baik menjelma sebagai Brahala, makhluk yang ngeri, ganas, penuh kesaktian dan milikin kekuatan luar biasa. Dalam fiksyen moden tiwikarma dapat dilihat menerusi watak Incredible Hulk, kemarahan watak biasa menjadi luar biasa.

Dalam konteks K.O.I pula, bukan saja-saja nampaknya istilah tersebut dijadikan judul lagu. Sebelum Tiwikarma, khalayak dijamu dengan Niskala Suaka yang bernuansa sedikit mistik, ada gamelan Jawa dengan lirik menjentik sedar.

Tiwikarma sinambungan kemaraan K.O.I yang keluar dari jalur asmaraloka cinta mendayu-dayu. Mereka pilih meratip tentang kehidupan, menyeru rasa dan melempiaskan kritik sosial dalam berkias.

Itulah tiwikarma juga buat K.O.I yang tidak menjelma menjadi raksasa yang marah sebaliknya ‘sepasukan biduan perkasa’ suarakan rasa terhadap kepincangan dunia dikuasai manusia durjana.

Tahniah K.O.I, sudah agak lama industri muzik tanah air kemarau karya-karya dengan lirik puitis yang maknanya tidak sekadar ‘surface’. Penulis teringat kata-kata sifu Datuk M. Nasir yang ditemui beberapa hari lepas.

Katanya, lirik lagu balada dan rock kita sudah lama hilang teks tersirat, namun aliran hip-hop dan rap masih kental estetika dan kaya makna bahasanya.

Benarlah, semoga kunpulan seperti K.O.I, Salam Musik dan Luca & Sicta akan terus berjuang dengan aliran tergoyah oleh kepanasan larva cinta atau jeritan batin menagih kasih.

The post Makna di sebalik kemenangan Tiwikarma appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved