Apex Securities mulakan liputan ke atas Elridge Energy dipacu peningkatan jualan produk premium

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2025 • 12:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Apex Securities mulakan liputan ke atas Elridge Energy dipacu peningkatan jualan produk premium

image is not available

14/08/2025 - 12:14

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Apex Securities memulakan liputan ke atas Elridge Energy Holdings Berhad dengan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) 86 sen disokong peningkatan jualan produk premium.

Katanya, margin kumpulan juga dijangka meningkat kepada hampir 14% pada 2027 berbanding 12% pada 2024, disokong peningkatan juala.

Firma penyelidikan itu berkata, Elridge memegang beberapa pensijilan penting yang memudahkan akses pasaran, terutamanya dalam kalangan pelanggan dari Jepun yang mengutamakan pematuhan terhadap kelestarian.

“Memandangkan permintaan kukuh dari Jepun, rancangan pengembangan Elridge di Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut peluang ini,” katanya dalam satu nota kajian.

Produk bahan api biojisim yang diperakui biasanya menikmati premium harga sekitar 15% berbanding tempurung sawit biasa.

Elridge mencatatkan margin keuntungan bersih purata sebanyak 12% sepanjang empat suku terakhir, jauh mengatasi penanda aras industri yang biasanya hanya mencatat margin satu angka bagi pengeluar umum, kata Apex Securities.

Saham Elridge telah melonjak lebih 60% sejak awal 2025. Saham itu juga naik lebih dua kali ganda daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada Ogos 2024.

“Kami percaya harga saham semasa masih belum mencerminkan sepenuhnya potensi pertumbuhan kumpulan,” katanya yang menjangkakan purata pertumbuhan tahunan pendapatan sebanyak 24% dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Berbanding syarikat dalam sektor yang sama yang bergantung kepada model kontrak yang lebih tidak menentu, Elridge mempunyai aliran tunai yang boleh dijangka menerusi perjanjian jual beli jangka panjang yang meliputi sehingga 40% daripada kapasiti tahunan syarikat.

Selain itu, Elridge juga menikmati margin operasi yang stabil sekitar 12%, berbanding margin satu angka yang dicatatkan oleh kontraktor solar, khususnya dalam projek berskala utiliti yang sangat kompetitif, menurut Apex Securities. - DagangNews.com

standard