Malakoff, Hicom Automotive jalin kerjasama projek solar berkapasiti 4.22MW di Pekan

20/05/2025 - 16:47
Gambar/Malakoff Corporation Berhad Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 20 Mei - Malakoff Corporation Berhad terus mengukuhkan komitmennya dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui pelancaran projek solar bersepadu terbaharu berkapasiti 4.22 megawatt (MW) bersama Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd di Pekan, Pahang.
Projek tersebut yang dijalankan menerusi anak syarikatnya, Malakoff Radiance Sdn Bhd (MRSB), adalah yang terbesar buat masa ini antara kedua-dua syarikat serta lanjutan kepada kerjasama sebelum ini.
Menerusi fasa pertama projek solar bumbung berkapasiti 2.0 MWp yang beroperasi sejak 1 Julai 2022, Malakoff dapat mengurangkan penggunaan elektrik grid sebanyak 7.0 GWh, mengelakkan pelepasan 5,489 tan karbon yang bersamaan penanaman 261,000 batang pokok serta menjimatkan kos tenaga jangka panjang untuk Hicom Automotive.
Fasa kedua kali ini menggabungkan dua pendekatan solar iaitu solar PV konvensional di atas bumbung kilang dan solar bersepadu bangunan (BIPV) pada struktur bumbung tempat letak kereta.
Pemasangan panel solar pada struktur bumbung tempat letak kereta bukan sahaja menjana tenaga hijau, tetapi juga memberikan nilai estetik kepada struktur bangunan.
Projek berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan tenaga kilang Hicom Automotive, mengurangkan lagi pelepasan karbon dan memberikan penjimatan kos tenaga jangka panjang.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malakoff sebagai peneraju dalam rumusan tenaga hijau, tetapi turut menyokong peralihan industri automotif negara ke arah pembuatan mampan.
"Dengan permintaan tenaga Malaysia yang dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2050, inisiatif seperti ini penting untuk memastikan kelestarian tenaga negara," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Malakoff kini memiliki portfolio RE terkumpul sebanyak 173 MW merangkumi projek solar berskala besar (LSS), pemasangan solar komersial & industri, stesen kuasa hidro kecil dan kemudahan pengangkutan tanpa karbon.
Tambah beliau, inisatif itu juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Aspirasi Negara Karbon Neutral 2050 dan Rancangan Malaysia Ke-13 dalam memperkukuh tenaga hijau.
Pembinaan fasa kedua dijangka bermula pada Jun 2025 dan akan memberi impak besar kepada rantaian bekalan automotif tempatan dengan menggalakkan amalan hijau dalam pembuatan kenderaan.
Ia juga bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional. - DagangNews.com
standard

