MCE, Chuhang dari China jalin kerjasama bangunkan radar automotif pintar

19/05/2025 - 16:38
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun (tiga dari kiri), Pengarah Pavilion Malaysia, Ellyza Mastura (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz (tiga dari kanan) di Expo Dunia 2025 di Pavilion Malaysia, di Osaka, Jepun. Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat tempatan, MCE Holdings Berhad (MCE), bekerjasama dengan syarikat teknologi dari China, Nanjing Chuhang Technology Co. Ltd, untuk menghasilkan radar automotif canggih bagi sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) dan pemanduan automatik.
Melalui kerjasama itu, anak syarikat penuh MCE, MCE Ventures Sdn Bhd, akan bekerjasama dengan Chuhang untuk membangunkan, menghasilkan dan menjual radar gelombang milimeter (mmWave) untuk sistem ADAS dan pemanduan automatik.
Produk berkenaan akan dihasilkan di Malaysia dan dijual ke seluruh dunia, kecuali China.
Radar tersebut membantu kenderaan mengenal pasti keadaan sekeliling dengan lebih tepat, sekali gus meningkatkan keselamatan dan menyokong fungsi pemanduan secara automatik.
Menerusi kerjasama itu, MCE memegang 51 peratus pegangan, manakala Chuhang memiliki 49 peratus saham.
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata, kerjasama tersebut adalah satu langkah besar bagi MCE untuk mengembangkan keupayaan syarikat dalam bidang elektronik automotif berteknologi tinggi.
"Perkongsian ini membolehkan kami menyediakan teknologi radar pintar dari Malaysia ke pasaran dunia serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengangkutan masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama berkenaan dimeterai hari ini semasa Expo Dunia 2025 di Osaka, Jepun, bertempat di Pavilion Malaysia.
Majlis pemeteraian perjanjian disaksikan oleh Pengarah Pavilion Malaysia, Ellyza Mastura serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz.
Teknologi radar yang dibangunkan akan menggabungkan kepakaran Chuhang dengan kemahiran pembuatan MCE dan bakal menjadi asas kepada pengembangan global MCE.
Kerjasama tersebut turut menyokong matlamat MCE untuk memperkukuh portfolio produk elektronik automotif dan memajukan industri pembuatan bernilai tinggi di Malaysia. - DagangNews.com
standard



