hamden17/08/2026 - 18:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos - Malakoff Corporation Bhd menjangkakan prestasi kumpulan lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY2026), disokong pemulihan operasi Kompleks Tanjung Bin yang kini hampir mencapai kapasiti penjanaan penuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, usaha pemulihan di kompleks berkenaan telah diselesaikan, sekali gus memberi ruang kepada loji janakuasa kumpulan untuk menyumbang lebih baik kepada prestasi kewangan dalam beberapa bulan akan datang.
Beliau berkata, Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) berdepan separuh pertama tahun yang mencabar berikutan tekanan operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBPP), yang memberi kesan kepada keputusan keseluruhan kumpulan.
"Usaha pemulihan di Kompleks Tanjung Bin telah diselesaikan dan dengan semua unit kini beroperasi hampir pada kapasiti penuh, kami menjangkakan prestasi yang jauh lebih kukuh daripada loji-loji berkenaan dalam beberapa bulan akan datang.
"Bagaimanapun, prestasi operasi kukuh loji berkuasa gas kami di Lumut dan Prai menunjukkan daya tahan portfolio penjanaan Malakoff yang pelbagai, mencerminkan keupayaan kami mengekalkan kestabilan operasi dan kewangan walaupun aset tertentu berdepan tekanan sementara," katanya dalam kenyataan keputusan kewangan kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026).
PATMI 2QFY26 Meningjat 58%
Bagi 2QFY2026, Malakoff mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM31.7 juta, meningkat 58% berbanding RM20.1 juta pada suku pertama tahun ini.
Peningkatan itu terutama disumbangkan margin bahan api yang lebih baik di TBPP dan Tanjung Bin Energy Power Plant (TBEPP), yang kembali beroperasi sepenuhnya pada akhir Januari 2026.
Namun, secara tahun ke tahun (YoY), PATMI susut kepada RM31.7 juta daripada RM62.8 juta pada 2QFY2025, susulan sumbangan lebih rendah daripada TBP.
Kesan tersebut sebahagiannya diimbangi penghutang tuntutan insurans serta peningkatan pendapatan daripada syarikat bersekutu.
Sementara itu, hasil 2QFY2026 berkurang 5.4% kepada RM1.91 bilion daripada RM2.02 bilion setahun sebelumnya.
Prestasi hasil turut disokong sumbangan bayaran tenaga daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV) dan Prai Power Sdn Bhd (PPSB), yang menyambung operasi pada awal April 2026 selepas lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) sehingga akhir Mac 2030.
Kedua-dua loji gas di Lumut dan Prai membantu mengimbangi bayaran kapasiti lebih rendah daripada TBPP, yang kadar pengoperasiannya berada di bawah paras biasa pada suku berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Malakoff berkata sistem pengendalian arang batu di Kompleks Tanjung Bin telah dipulihkan sepenuhnya kepada kapasiti reka bentuk sehingga 5,000 tan sejam selepas ketiga-tiga laluan tali sawat berjaya ditauliahkan semula.
Inventori arang batu juga kekal melebihi keperluan stok minimum, manakala kerja pembaikan unit 30 TBPP terus menunjukkan kemajuan dengan pemasangan rotor berjaya dilakukan pada 9 Ogos 2026.
Dengan pemulihan aset utama serta lanjutan PPA bagi loji gas di Lumut, Malakoff kini mempunyai asas operasi yang lebih kukuh untuk separuh kedua tahun ini.
Kumpulan turut terus memperluas sumber pertumbuhan melalui tenaga boleh baharu dan penyelesaian alam sekitar, termasuk projek sisa-ke-tenaga (WTE) Sungai Udang yang memperoleh PPA selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi menjana kira-kira 22MW tenaga boleh baharu.
Kemudahan WTE itu mempunyai tempoh konsesi 34 tahun dan berkeupayaan memproses sehingga 1,056 tan sisa pepejal perbandaran sehari, sekali gus dijangka menyumbang sumber pendapatan baharu kepada perniagaan penyelesaian alam sekitar kumpulan. - DagangNews.com






