Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan suku kedua paling kukuh sejak 2014

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 5:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan suku kedua paling kukuh sejak 2014

PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melonjak enam peratus pada suku kedua 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi itu merupakan pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan lebih bermakna ketika ekonomi dunia berdepan kelembapan susulan krisis bekalan global serta pergolakan yang berlaku di Asia Barat.

“Alhamdulillah, tatkala ekonomi dunia semakin perlahan akibat krisis bekalan global dan pergolakan di Asia Barat, angka KDNK negara dicatat melonjak sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026.

“Kadar pertumbuhan ini mengatasi jangkaan pasaran sekali gus mencatat prestasi pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, kekuatan ekonomi itu antara lain didorong usaha Kerajaan Madani memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas teruk akibat tempias inflasi dunia susulan krisis di Asia Barat.

Katanya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah termasuk pemberian bantuan menerusi Budi Madani, Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah.

“Banyak yang telah diusahakan Kerajaan Madani di sebalik tabir untuk mengawal harga serta memastikan bekalan terus mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar mengakui masih banyak perkara perlu dilaksanakan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan secara mampan.

Tambahnya, kemajuan ekonomi juga perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai seluruh rakyat menerusi peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti serta bantuan kepada golongan rentan.

“Saya menginsafi bahawa masih banyak yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Madani untuk memastikan bukan sahaja momentum pertumbuhan ini kekal lestari, tetapi kekayaan dan kemajuan negara dapat dikecapi bersama oleh seluruh rakyat.

“Insya-Allah, Kerajaan Madani akan kekal pada landasan reformasi untuk mengangkat darjat rakyat dan mengukuhkan asas ekonomi tanah air yang tercinta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan suku kedua paling kukuh sejak 2014 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved