
PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menjangkakan prestasi kumpulan bagi separuh kedua tahun kewangan 2026 lebih kukuh susulan pemulihan operasi Kompleks Tanjung Bin serta prestasi positif stesen janakuasa gasnya.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (Q2 FY2026), Kumpulan merekodkan hasil RM1.91 bilion, turun 5.4 peratus berbanding RM2.02 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) pula susut kepada RM31.7 juta berbanding RM62.8 juta pada Q2 FY2025, terutama disebabkan sumbangan lebih rendah daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP).
Bagaimanapun, PATMI meningkat 58 peratus berbanding RM20.1 juta pada suku pertama tahun ini, didorong margin bahan api yang lebih baik di Stesen Janakuasa Tanjung Bin (TBPP) dan Stesen Janakuasa Tanjung Bin Energy (TBEPP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, tekanan operasi di TBPP pada separuh pertama tahun ini menjejaskan keputusan keseluruhan, namun usaha pemulihan di Kompleks Tanjung Bin kini hampir selesai.
“Dengan kesemua unit beroperasi pada kapasiti yang hampir penuh, kami menjangkakan prestasi yang jauh lebih kukuh daripada stesen-stesen janakuasa tersebut pada bulan-bulan mendatang.
“Prestasi operasi yang kukuh daripada stesen-stesen janakuasa berkuasa gas kami di Lumut dan Prai membuktikan daya tahan portfolio penjanaan pelbagai Malakoff,” katanya dalam kenyataan prestasi kewangan Q2 FY2026.
Usaha pemulihan di Kompleks Tanjung Bin kini telah selesai dan dengan kesemua unit beroperasi pada kapasiti yang hampir penuh, kami menjangkakan prestasi yang jauh lebih kukuh daripada stesen-stesen
janakuasa tersebut pada bulan-bulan mendatang.
Katanya, pemutar Unit 30 TBPP berjaya dipasang pada 9 Ogos lalu, manakala kedua-dua TBPP dan TBEPP kini beroperasi berhampiran kapasiti penjanaan penuh.
Dalam perkembangan lain, Malakoff turut menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu dengan Tenaga Nasional Berhad bagi melanjutkan operasi dua stesen janakuasa gas di Lumut sehingga 2029 dengan jumlah kapasiti 1,732 megawatt.
Malakoff Power Berhad juga berjaya meraih RM450 juta menerusi Sukuk Murabahah SRI, manakala projek sisa-kepada-tenaga (WTE) di Sungai Udang bakal menjana kira-kira 22 megawatt tenaga boleh baharu menerusi PPA selama 21 tahun bersama TNB.
Sementara itu, Alam Flora terus memperkukuh operasi rendah karbon menerusi penempatan sehingga 242 unit kenderaan dan peralatan elektrik menjelang akhir tahun, termasuk jentera pembersih jalan elektrik pertama di Malaysia.
Dengan pemulihan Kompleks Tanjung Bin, jaminan kapasiti jangka panjang menerusi pelanjutan PPA Lumut serta aliran pendapatan baharu dalam tenaga boleh baharu dan penyelesaian alam sekitar, Kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi separuh kedua tahun ini. – KOSMO! ONLINE
The post Malakoff jangka prestasi lebih kukuh pada separuh kedua 2026 appeared first on Kosmo Digital.






