Malakoff meterai perjanjian konsesi bangunkan loji WTE di Sungai Udang

23/06/2025 - 17:41
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 23 Jun – Malakoff Corporation Bhd, melalui anak syarikatnya, Sungai Udang WTE Sdn Bhd memeterai perjanjian konsesi bagi membangunkan loji sisa-kepada-tenaga (WTE) di Sungai Udang, Melaka.
Pengarah SUWTE merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin berkata, projek itu merupakan pencapaian penting bagi syarikat dan Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES), dalam memperkasa pembangunan mampan melalui rumusan infrastruktur jangka panjang.
"Loji itu akan mengalihkan lebih 300,000 tan sisa daripada tapak pelupusan setiap tahun dan dijangka mengurangkan 75,000 tan pelepasan karbon dioksida (CO₂), bersamaan pemeliharaan lebih 3.4 juta pokok dan menghalang 23,000 meter padu air larut daripada mencemari sumber air tempatan," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian itu dimeterai di bawah kerjasama Awam-Swasta bersama Kerajaan Malaysia, diwakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), melibatkan kerja reka bentuk, pembinaan, pembiayaan, operasi, penyelenggaraan dan penutupan kemudahan WTE tersebut.
Syarikat itu merupakan usaha sama khas bagi projek berkenaan, dengan Malakoff memegang 60% kepentingan ekuiti, manakala 40% lagi dimiliki AFES sebanyak 97.37% dimiliki oleh Malakoff.
Kemudahan WTE itu berupaya memproses sehingga 1,056 tan sisa pepejal domestik setiap hari dan menjana kira-kira 22 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui secara kasar melalui Perjanjian Pembelian Tenaga yang akan dimeterai antara Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan syarikat tersebut.
Ketika ini, Malakoff mengurus 3,649 tan sisa sehari, dengan tambahan kapasiti 1,056 tan melalui projek WTE, jumlah itu meningkat kepada 6,206 tan sehari berdasarkan kontrak, perjanjian konsesi, dan aset sedia ada.
Dengan keluasan hanya 3.964 hektar, kemudahan itu mencerminkan kejuruteraan pintar yang memberi kesan alam sekitar ketara sambil mengoptimumkan penggunaan tanah.
Selaras dengan Dasar Ekonomi Pusingan Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), projek tersebut menyokong matlamat Malaysia mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.
Pencapaian itu sejajar dengan komitmen Malakoff untuk menguruskan 10,000 tan sisa sehari menjelang 2031 menerusi strategi inovatif, bersepadu, dan mampan.
Projek itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) No. 11 bagi menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan, selaras dengan matlamat utama syarikat untuk "Enhancing Life, Enriching Communities".- DagangNews.com
standard



