I-Berhad labur RM10 juta bangunkan infrastruktur AI, robotik di i-City

04/06/2025 - 14:24
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 4 Jun – I-Berhad melabur RM10 juta untuk membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan robotik di i-City, sebagai fasa strategik baharu kumpulan yang dijangka siap menjelang 2028.
Fasa pertama akan bermula di Mercu Maybank selama empat tahun, menara 14 tingkat yang menjadi pejabat alternatif utama Maybank sebelum diperluas ke Wyndham Suites i-City, Wyndham KLCC, Wyndham Garden, DoubleTree by Hilton i-City, Central i-City, City of Digital Lights, tempat letak kereta, pusat data Tier-3, dan kediaman lain.
Langkah itu merupakan strategi 'menjana nilai daripada tanah' yang diperkenalkan pada 2024 bagi memanfaatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion di i-City, dengan lebih 50% telah disiapkan sebagai aset penjana pendapatan berulang.
Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, AI dan robotik merupakan sempadan baharu dalam usaha kumpulan memaksimumkan nilai ekosistem hartanah.
"Kami sedang memperkukuhkan sumber pendapatan berulang melalui sistem pintar bagi menjadikan aset lebih cekap, adaptif, dan bersedia menghadapi masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah I-Berhad merangkap Penlai dan Ejen Hartanah Berdaftar, Prem Kumar Subramaniam berkata, langkah itu mengukuhkan asas jangka panjang aset syarikat.
"Bangunan yang dipertingkatkan dengan AI lebih cekap, responsif terhadap keperluan penyewa, dan menawarkan kos operasi yang stabil serta mudah diramal, merupakan satu ciri penting untuk menjamin hasil sewaan yang mampan dan berdaya saing," katanya.
Pelan transformasi teknologi 2025–2028 akan menggabungkan teknologi pintar ke dalam operasi dalaman dan pengalaman pelanggan, termasuk penyelenggaraan ramalan, pengurusan aliran pelawat serta bantuan robotik di ruang komersial, runcit, dan hospitaliti.
SuperApp i-City akan menjadi platform penyepaduan bagi teknologi Robotik-sebagai-Perkhidmatan (RaaS), dengan matlamat yang membolehkan penyewa turut memanfaatkan infrastruktur pintar itu.
Syarikat kini dalam perbincangan dengan penyedia teknologi antarabangsa termasuk Unitree, DeepSeek, dan Baidu bagi menjadikan i-City sebagai projek pembangunan AI berskala besar di Malaysia.
standard

