Malakoff mungkin tarik balik peruntukan RM40 juta arang batu jika harga naik - penganalisis

03/06/2025 - 13:06
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 3 Jun - Malakoff Corp Bhd mungkin akan menarik balik peruntukan RM40 juta untuk inventori arang batu pada separuh kedua tahun ini jika harga arang batu meningkat.
Syarikat tenaga bebas (IPP) itu menyediakan peruntukan tersebut dalam laporan kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2025 , menyebabkan pendapatannya merosot 45% berbanding tahun sebelumnya (y-o-y) kepada RM34 juta.
OUB Kay Hian (UOBKH) Reserch menjangkakan, Malakoff akan menarik balik sebahagian peruntukan itu pada hujung tahun jika harga arang batu pulih.
Pendapatan syarikat juga menurun sebanyak 11% kepada RM2 bilion dalam suku pertama kerana penghantaran tenaga lebih rendah, susulan kelembapan ekonomi di Semenanjung Malaysia.
Secara keseluruhan, penghantaran tenaga Malakoff ke grid jatuh 6%, termasuk daripada loji janakuasa gas miliknya.
"Loji janakuasa arang batu menerima bayaran tenaga yang lebih rendah akibat penurunan harga arang batu," kata UOBKH Research dalam laporan terbaharunya.
Sehubungan itu, ia mengurangkan anggaran keuntungan bersih Malakoff bagi tahun 2025 sebanyak 9% kepada RM276 juta, hampir sama seperti tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' untuk Malakoff dengan harga sasaran RM1.08 sesaham.
"Kami juga mengambil kira kemungkinan Malakoff meraih projek loji janakuasa 1,400MW dalam anggaran harga sasaran kami.
"Jika Malakoff berjaya memperoleh dua projek tersebut, harga saham boleh naik kepada RM1.25," tambahnya.
Sementara itu, CGS International memaklumkan, Malakoff akan membida untuk melanjutkan operasi tiga loji janakuasa gas yang telah atau hampir tamat tempoh iaitu GB3 (640MW), Prai Power (350MW) dan Segari (1,303MW) melalui tender Suruhanjaya Tenaga yang akan ditutup pada Jun ini.
Pihak pengurusan juga menjelaskan, tender baharu tersebut tidak menjejaskan surat notis awal yang telah diterima bagi dua loji janakuasa gas baharu, yang kini sedang dalam proses dimuktamadkan.
Selain itu, projek hidro kecil 84MW di Kelantan sedang berjalan dengan baik.
Malakoff juga telah melengkapkan pengambilalihan 49% pegangan dalam E-Idaman Sdn Bhd pada Februari lalu, yang membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan pengurusan sisa di Perlis dan Kedah.
Pemerolehan berkenaan menyumbang sebanyak RM2 juta kepada keuntungan bersih Malakoff bagi suku pertama 2025.
CGS International mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham Malakoff dengan harga sasaran baharu RM1.15 sesaham, disokong oleh pulangan bersih melebihi 5.5%.
"Usaha peralihan tenaga di Malaysia juga membuka peluang lebih cerah untuk Malakoff memenangi projek loji baharu dan menyokong pendapatan jangka panjangnya," ujarnya.
Kenanga Research pula mengurangkan unjuran pendapatan Malakoff bagi tahun FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 24% dan 25%, mengambil kira kesan peruntukan tersebut.
Firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan 'sejajar dengan sasaran' pada harga yang diturunkan kepada 77 sen daripada 80 sen, disokong oleh pulangan dividen melebihi 4%.
standard

